Mangsa-mangsa Muslim serangan trak di Kanada diberi penghormatan

 Mangsa-mangsa Muslim serangan trak di Kanada diberi penghormatan

ONTARIO, KANADA, 13 Jun – Beratus penduduk bandar Ontario hari ini menghadiri upacara pengkebumian sebuah keluarga Muslim yang terkorban akibat dilanggar oleh sebuah trak pickup yang dipandu seorang lelaki Ahad lalu. Polis berkata kejadian tersebut bermotifkan perasaan kebencian.

Nathaniel Veltman

Menurut Reuters, upacara selama satu jam itu bermula dengan keempat-empat keranda mangsa yang dilitupi bendera Kanada dibawa masuk ke kawasan kompaun Islamic Centre of Southwest Ontario, dan berakhir dengan solat jenazah, bacaan doa serta ucapan takziah oleh para pemimpin masyarakat setempat.

Keluarga tersebut, yang terdiri daripada tiga generasi, terbunuh apabila seorang lelaki kulit putih, Nathaniel Veltman, 20, merempuh mereka dengan sengaja menggunakan trak pickup beliau ketika mereka sedang berjalan kaki berdekatan rumah mereka di London, Ontario. Seorang ahli keluarga tersebut, kanak-kanak lelaki berumur 9 tahun, kini dirawat di hospital.

Pihak berkuasa menyifatkan serangan itu bermotifkan sifat kebencian dan mendakwa keluarga tersebut dijadikan sasaran oleh kerana mereka beragama Islam.

“Penghormatan yang dilambangkan oleh bendera Kanada ini menunjukkan seluruh negara Kanada turut bersama meratapi tragedi ini, kata Raza Bashir Tarar, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Kanada.

 

Keluarga tersebut berpindah ke Kanada dari Pakistan 14 tahun lalu.

Keluarga Muslim yang terkorban akibat serangan pengganas di Kanada Ahad lalu

Serangan tersebut menimbulkan kemarahan di seluruh Kanada, dan dikutuk oleh pelbagai pemimpin yang mahukan tindakan lebih tegas untuk melawan rasisma dan Islamophobia.

Ia juga memberikan sedikit harapan kepada komuniti di sini.

“Tidak kira warna kulit ataupun agama, penghormatan dan doa yang kita nampak di sini, yang datang daripada mereka yang berlainan bangsa, menjadi langkah yang pertama untuk menyembuhkan luka kami,” kata Ali Islam, bapa saudar kepada Madiha Salman, salah seorang mangsa.

Veltman, yang akan kembali ke mahkamah Isnin ini, menghadapi empat tuduhan membunuh dengan sengaja, dan satu pertuduhan cubaan membunuh.

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyifatkan pembunuhan ini sebagai “serangan pengganas” dan berjanji akan mengambil tindakan lebih tegas ke atas kumpulan-kumpulan berhaluan kanan dan juga kelakuan bersifatkan kebencian di dalam internet.

 

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

89  −  84  =