• Friday, 18 June 2021, 2:31 am

Mangsa mangli manusia

 Mangsa mangli manusia

Foto Bernama

Oleh Irwan Abd Rahman

“Melayu mudah lupa,” kata seorang bekas Perdana Menteri kita satu masa dahulu. Ingat tak? Kalau tak ingat, memang betul sangat lah kenyataan dia tu. Walau kita Melayu atau bangsa lain, memang kita semua ni cepat lupa. Nama orang kita lupa. Tarikh kita lupa. Berapa kali dah kita dirundung malang dan ditimpa kecelakaan bila kita lupa tarikh ulang tahun perkahwinan atau hari lahir isteri kita? Tambah-tambah bila dah meningkat usia – nak panggil nama anak seorang pun tersebut nama-nama abang-kakak-adik semua sekali bak gerabak keretapi, baru dapat yang betul. Nak keluar rumah pun masuk-keluar balik sebab lupa dompet, telefon, cermin mata, anak, bini dan sebagainya. Nasib baik tak lupa pakai baju seluar.

Tapi yang lebih teruk bukannya penyakit lupa, sebenarnya. Sebaliknya, yang lebih kronik adalah penyakit alpa.

Tak tahu maksud alpa? Aaapa laaa.

Alpa ni, maksudnya tidak endah dan tidak peduli. Ianya hampir sama seperti lupa, tetapi ia ‘lupa kepada pentingnya dan erti sesuatu perkara’.

Alpa ini banyak sebabnya, tetapi selalunya kita alpa dengan sesuatu perkara, kerana kita dah selalu sangat tengok, dengar dan alami, sampai kita dah bosan dan perkara itu nampak tak penting.

Bila alpa sebegini, dalam kata lain ia dinamakan ‘mangli’. Dalam bahasa ibunda orang putih dikatakan sudah ‘used to it’ atau ‘desensitized’. Keadaan ini berlaku apabila seseorang itu sudah tidak terkejut lagi dengan sesuatu perkara yang pelik dan sepatutnya mengejutkan.

Misalnya, sikap pengotor dan tabiat membuang sampah merata-rata dikalangan masyarakat kita. Walaupun kita telah diajar tentang kebersihan di dalam subjek sivik dan pendidikan agama, walaupun kita semua tahu perbuatan itu salah dan menjijikkan, tetapi oleh kerana kita sudah selalu sangat disajikan dengan pemandangan sedemikian, kita pun dah anggap perkara ni biasa. Macam lumrah hidup. Kita hanya alih pandangan dan teruskan perjalanan.

Ataupun, bila kita lihat tahap budaya integriti di Malaysia. Walau terpampang segala slogan berkaitan kejujuran dan “Bersih, Cekap, Amanah”, walau disuruh mengangkat sumpah dan menandatangani segala macam Akujanji dan walau kita diingatkan tentang dosa-pahala serta balasan jannah dan jahannam, kita tetap dapati terlalu banyak kes korupsi, pecah amanah dan amalan rasuah di sana-sini, sehinggakan kita ‘tidak terkejut’ lagi apabila terbaca mengenainya. Meskipun terdapat banyak usaha daripada kerajaan, agensi-ageni berkaitan dan badan-badan bukan kerajaan untuk memerangi gejala rasuah, sehingga kini budaya integriti tampak asing dan tidak selari dengan ‘budaya Malaysia’. Kenapa?

Kerana, kita sudah mangli dengan rasuah dan sifat tidak amanah. Mencuri – sama ada mencuri wang, mencuri peluang ataupun perbuatan mencuri tulang bila membuat kerja – dilihat ramai sebagai ‘mengambil peluang yang terbuka di depan mata’ walhal ia sebenarnya adalah perbuatan ‘mengambil hak orang lain’. Berapa ramai di antara kita yang benar-benar boleh mengaku bahawa kita tidak pernah mengambil sesuatu yang bukan hak kita?

Tak perlu untuk kita tengok hal-hal ‘jelas’ seperti membuat tuntutan Overtime lebih, mencilok makanan orang lain di dalam peti sejuk pejabat tanpa meminta, ataupun mengambil buah mangga dari pokok jiran sebelah. Pernahkah kita melanggar isyarat lampu merah bila kita pasti tiada yang memerhati? Ataupun dengan sengaja tak mengimbas kod MySejahtera bila memasuki premis mana-mana?

Ini semua melibatkan integriti. Amanah dan prinsip yang diwajibkan oleh setiap agama. Integriti bermaksud ‘membuat sesuatu dengan betul, walaupun ketika tiada siapa yang memerhati’. Bukan kerana kita takut ditangkap, disaman atau dikompaun. Cuba fikirkan, adakah masyarakat kita berbudaya integriti? Sedangkan nasihat patuhi SOP secara kendiri pun susah benar nak diikuti?

Di Malaysia, jika kita ingin ‘menempah’ satu meja makan di ‘food court’, kita biasanya perlu meletakkan seseorang di situ, sementara yang lainnya pergi membeli makanan. Orang itu – sama ada isteri, anak atau sesiapa sahaja – akan bertugas ‘menempis’ cubaan orang lain untuk mengambil meja kita.

Di Singapura, mereka hanya perlu meletakkan sebungkus tisu poket di atas meja untuk ‘menempah’ tempat tersebut. Pelanggan lain tahu dan hormat fungsi sebungkus tisu itu, dan akan mencari meja lain untuk digunakan.

Di Jepun pula, anda tahu apa yang ditinggalkan pelanggan ‘food court’ untuk menempah meja itu?

Dompet!

Ya, dompet dan beg tangan yang penuh dengan duit dan dokumen penting. Begitulah tingginya tahap budaya integriti di Jepun sehinggakan mereka tahu, barang berharga yang ditinggalkan di tempat awam akan tetap selamat. Orang Jepun akan mengejar anda sehingga dapat untuk mengembalikan barang anda yang tercicir.

Di sini? Sikap berintegriti yang sepatutnya ‘biasa’, menjadi berita, kerana ianya amat abnormal. Kitapun mesti pernah terbaca kisah ‘hero’ Malaysia yang tular, kerana sifat jujur beliau mengembalikan wang kepada pemilik asalnya, walhal di negara matahari terbit itu, mereka sudah mangli dengan sifat amanah.

Kita perlu perbetulkan ‘kemanglian’ kita, demi masa hadapan anak-anak kita.

Masyarakat kita perlu terkejut, jijik, marah dan mangambil peduli apabila berhadapan dengan benda-benda buruk seperti perbuatan tidak jujur, sikap biadap, sifat malas, sifat tidak kisah, kekejaman dan lain-lain perkara yang terus-menerus merosakkan negara. Kita perlu membudayakan integriti, kebersihan, kejujuran, keadilan dan kualiti, dan me’normal’kan kebaikan.

Kita juga perlu berhati-hati agar kita tidak mangli dengan fakta-fakta dan angka yang sering kita lihat, misalnya angka kes baru COVID-19 yang dilaporkan setiap hari.

Masihkah kita ingat, setahun lalu, negara kita dilanda panik apabila tiga rakyat China yang disahkan positif SARS-CoV-2 (sebelum koronavirus itu dinamakan COVID-19) dilaporkan telah melawat Malaysia? Ingat betapa bimbangnya kita apabila kes harian meningkat menjadi puluhan? Kenapa kini, apabila kes harian mencecah hampir 8 ribu, dan angka kematian akibat COVID-19 melangkau lebih 60 nyawa sehari, kita masih melepak dan tidak memandang serius wabak pembunuh ini? Kerana, kita sudah mangli dengan angka.

Sepertimana dunia sudah mangli dengan kekejaman puak Zionis Israel terhadap rakyat Palestin selama berpuluh tahun, kita sudah mula mangli dengan tragedi yang kian parah di tanah air kita.

7,000? Tak mengapa… belum 10,000.

60 mati sehari? … belum 100!

Dalam kebanjiran statistik setiap hari, kita lupa yang setiap satu angka itu adalah suami, isteri, ibu, ayah, anak dan saudara seseorang. Setiap ‘kes’ adalah satu insan, yang gugur dan tidak dapat diganti.

Dan dengan matinya 60 orang setiap hari, bermakna dalam setahun kita akan kehilangan 20,000 nyawa.

Ya. DUA PULUH RIBU!

Jadi, janganlah kita mangli dengan angka ini dan situasi yang kita hadapi kini.

Pedulilah. Berjaga-jagalah.

Duduklah di rumah jika tiada keperluan atau kecemasan. Pakailah pelitup muka, dan pakailah dua lapis jika boleh. Hormatilah penjarakan sosial SATU METER apabila di luar. Percayalah, perasaan bosan duduk keseorangan di rumah jauh lebih baik dari keperitan sakit keseorangan di wad ICU. Jangan terlalu beriya-iya mengetuk telefon mengutuk golongan selebriti dan ahli politik sehingga kita lupa melihat kesalahan sendiri. Biar pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas sesiapa sahaja yang membuat salah; itu kerja mereka. Ingat tak #kitajagakita? Maksudnya, kita jaga perbuatan, sikap dan keselamatan kita bersama.

Dan dapatkanlah vaksinasi, tak kira apa jenama dan dari negara mana ia datang. Ya, sistem pendaftaran tidak stabil, dan masalah teknikal yang dihadapi memang menaikkan darah. Tetapi sabarlah, dan jangan putus asa – kerajaan komited menyediakan dos vaksin untuk anda! Biarlah kita semua mangli dengan norma baru, dan teruskan bersama menyokong usaha negara untuk melindungi diri dan keluarga kita.

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *