Mangsa banjir terus terima sumbangan

 Mangsa banjir terus terima sumbangan

KUANTAN. 9 Januari 2022 – Banjir telah lebih 20 hari berlalu namun penduduk Taman Seri Inderapura, di sini dianggap bertuah apabila terus menerima bantuan daripada pelbagai pihak.


Sepanjang seminggu musibah banjir sumbangan diterima membabitkan makanan hampir setiap hari, individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil meringankan beban penduduk setempat.


Penduduk Amir Saidon Md Yunus, 58 berkata, penduduk Taman Seri Inderapura banyak menerima bantuan disediakan oleh pelbagai pihak yang begitu prihatin sejak banjir berlaku 19 Disember lalu.

Penduduk Taman Seri Inderapura menerima bantuan keperluan asas selepas penempatan mereka ditenggelami banjir akhir tahun lalu.


Menurutnya, apabila banjir surut hampir setiap hari pagi dan petang pelbagai pihak datang menghulurkan sumbangan dan paling banyak makanan seperti nasi, mee goreng, nasi lemak, roti dan minuman.


“Penyumbang bukan sahaja datang daripada daerah ini malah ada yang datang daripada negeri jiran Terengganu.Mereka menyumbang bagi meringankan beban mangsa banjir.


“Disebabkan terlalu banyak sumbangan makanan maka berlaku pembaziran, terdapat dikalangan mangsa banjir terpaksa membuang makanan apabila menerima bantuan secara berlebihan dalam satu masa,” katanya, di sini hari ini.


Beliau berkata, banjir yang berlaku di Taman Seri Inderapura akhir tahun lalu seolah memberi peluang kepada banyak pihak berbakti dan meraih pahala apabila tampil memberi sumbangan kepada mereka memerlukan.

Amir Saidon berkata, sumbangan lain yang turut diterima mangsa banjir ialah barangan keperluan asas, tikar, bantal, selimut, cadar dan kain.


Surirumah Zainuriah Damah, 56 berkata, kehadiran sukarelawan Jabatan Amal Malaysia Pahang dan Terengganu turut membantu melancarkan lagi aktiviti membersih masjid dan rumah penduduk yang ditenggelami banjir.


“Saya mewakil penduduk Taman Seri Inderapura mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang begitu prihatin dengan kesusahan yang dihadapi disebabkan bencana banjir.


“Pelbagai NGO tempatan dan luar Pahang datang menghulurkan bantuan tanpa mengira bangsa, sehingga hari ini bantuan keperluan asas terus diterima penduduk setempat sumbangan pihak yang prihatin,” katanya.


Katanya, bencana banjir akhir tahun lalu seolah memberi peluang seluasnya kepada orang perseorangan untuk menambah seberapa banyak pahala dengan cara bersedekah makanan dan keperluan asas, semoga rezeki mereka yang menyumbang terus bertambah.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  6  =  1