Malaysia tersenarai antara pasaran e-dagang terkemuka di ASEAN

 Malaysia tersenarai antara pasaran e-dagang terkemuka di ASEAN

KUALA LUMPUR, 28 April — Malaysia dijangka mengekalkan kedudukannya sebagai satu daripada pasaran e-dagang utama di ASEAN dengan pertumbuhan nilai dagangan kasar (GMV) dijangka meningkat enam peratus kepada US$11.4 bilion (US$1=RM4.09) pada 2020.

Dalam kenyataan semalam, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata Laporan e-Conomy SEA 2020 oleh gergasi teknologi Google, pelabur milik Singapura Temasek dan syarikat rundingan global Bain & Company mengunjurkan bahawa GMV Malaysia akan mencapai US$30 bilion pada 2025.

Bagi meningkatkan lagi pertumbuhan pasaran e-dagang di ASEAN, Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan Pelan Halatuju Strategik e-Dagang 2.0 (NESR 2.0) pada 22 April 2021.

Ini susulan pencapaian NESR 1.0.,kata MDEC sambil memaklumkan ia telah diberi kepercayaan untuk menerajui Pejabat Pengurusan Projek NESR 2.0 dengan mandat untuk mengawal selia keberhasilan pelaksanaan NESR 2.0.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata NESR 2.0 mengutamakan pelaksanaan e-dagang dalam kalangan perusahaan mikro,kecil dan sederhana tempatan (MSME) pada 2025 sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital (MyDIGITAL).

Beliau berkata lebih 489,000 MSME telah menerapkan e-dagang, manakala 378,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah dilatih dalam e-dagang sehingga akhir 2020.

Jumlah PKS yang mengeksport barangan telah meningkat secara drastik daripada 1,800 kepada 27,000 selain berjaya menarik pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk penubuhan hab e-penyampaian serantau.

Bagi memacu usaha ini, NESR 2.0 akan beroperasi mulai 2021 hingga 2025 dengan menyasarkan 875,000 MSME serta menggalakkan 84,000 penerapan eksport e-dagang dan meningkatkan pendapatan purata bagi setiap pengguna kepada RM9,500.

Objektif utama ini adalah selari dengan Teras Kedua (meningkatkan daya saing ekonomi menerusi pendigitalan) dan Teras Kelima (menyasarkan untuk mencipta masyarakat yang terangkum dengan digital) dalam MyDIGITAL.

“Pada masa yang sama, objektif berkenaan adalah selari dengan agenda Malaysia 5.0 yang berhasrat memperkasakan masyarakat yang terintegrasi dengan teknologi berdasarkan pertumbuhan yang inklusif, mampan dan adil,” katanya.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  1