Malaysia perlu tegas isu pencerobohan perairan negara

 Malaysia perlu tegas isu pencerobohan perairan negara

Aduka Adlisyah Datuk Azhar

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Kerajaan Malaysia perlu memberi respon yang tegas terhadap isu pencerobohan Laut China Selatan dan perairan negara oleh tentera negara China yang disifatkan sebagai mencabar kedaulatan negara.

Naib Ketua Armada BERSATU Sarawak, Aduka Adlisyah Datuk Azhar berkata selain daripada menghantar notis bantahan terhadap Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), negara anggota ASEAN juga perlu bersama dalam usaha untuk memastikan masalah ini dapat diselesaikan.

“Satu pakatan ketenteraan atau kerjasama antara negara ASEAN berkemungkinan perlu diwujudkan dan digerakkan segera bagi memastikan kestabilan dan keselamatan perairan Asia Tenggara tidak mudah diceroboh oleh China yang jelas melanggar undang undang antarabangsa.

“Ini merupakan langkah kerjasama yang mampu memberi isyarat kepada China bahawa ASEAN tidak pernah bersetuju dengan tindakan biadap yang ditunjukkan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Aduka berkata perkara tersebut bukanlah satu perkara mustahil kerana ASEAN sebelum ini pernah menerima cadangan Malaysia untuk mewujudkan satu Gabungan Pasukan Tentera ASEAN pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-12.

Beliau berkata, penubuhan pasukan tentera itu bertujuan memberi bantuan kemanusiaan kepada negara anggota rantau yang dilanda bencana besar.

“Malaysia sekali lagi berkemungkinan perlu menjadi negara pertama yang memulakan rundingan dan cadangan bersama negara anggota ASEAN,” katanya.

Penyelesaian isu pencerobohan Laut China Selatan dan perairan Malaysia oleh tentera negara China menemui jalan buntu apabila baru baru ini tentera China sekali lagi menceroboh masuk ke perairan Malaysia (berdekatan Sarawak dan Sabah).

“Armada Sarawak berharap Duta Khas Malaysia ke Republik China, Datuk Seri Tiong King Sing mengambil serius perkara ini dan harus mempunyai jalan penyelesaian yang kukuh demi keselamatan Negara serta sejahteraan rakyat,” tambahnya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6  +  2  =