• Sunday, 20 June 2021, 11:19 am

Malaysia mahukan akauantabiliti dan sokongan kemanusiaan untuk penduduk Palestin

 Malaysia mahukan akauantabiliti dan sokongan kemanusiaan untuk penduduk Palestin

KUALA LUMPUR, 28 Mei — Malaysia mahu Majlis Hak Asasi Manusia (HRC) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan (COI) untuk memastikan akauntabiliti dan sokongan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.

Kenyataan Malaysia pada Sesi Khas ke-30 HRC juga menekankan bahawa kerjasama Kuasa Pendudukan harus diperluas sepenuhnya untuk memastikan COI dapat melaksanakan mandatnya dengan berkesan.

“Kami percaya hanya dengan akauntabiliti, keadilan dan pemulihan, penduduk Palestin dapat menikmati hak asasi kemanusiaan mereka,”katanya.

Kenyataan Malaysia itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar pada Khamis semasa Sesi Khas HRC di Geneva, Switzerland yang membincangkan keadaan hak asasi manusia yang meruncing di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Bersama banyak negara anggota OIC dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Malaysia menyokong Resolusi HRC yang antara lain menyeru penubuhan COI, kata kenyataan itu.

Malaysia turut  bergabung dengan masyarakat antarabangsa dalam mengutuk pencerobohan berterusan Israel di tanah Palestin, pelanggaran hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan dan turut menekankan bahawa dasar tidak berperikemanusiaan, penjajahan dan apartheid Israel mesti ditamatkan agar Palestin mempunyai masa depan yang bermaruah.

Malaysia juga mahu HRC bertindak pantas dan tegas untuk menangani punca-punca krisis Palestin.

Sesi Khas itu, yang diadakan atas permintaan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mendapat sokongan menyeluruh dari 69 Negara, tambah kenyataan itu.

Malaysia sentiasa menjadi penyokong kuat perjuangan Palestin dan tetap teguh menyuarakan sokongannya untuk pemulihan hak-hak Palestin yang tidak boleh dinafikan, termasuk penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan perjanjian sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Menurut laporan Agensi Anadolu yang memetik angka rasmi Palestin, jumlah kematian akibat serangan Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang diceroboh berjumlah 288 orang, termasuk 69 kanak-kanak dan 40 wanita, dengan lebih 8,900 yang lain cedera.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *