Malaysia-Indonesia setuju laksana koridor perjalanan

 Malaysia-Indonesia setuju laksana koridor perjalanan

Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL). FOTO – Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah.

“Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang telah divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan.

“Koridor perjalanan ini juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR COVID-19,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, hari ini.

Tambah beliau, inisiatif tersebut akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara.

“Pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi di antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam,” jelasnya.

Justeru, kedua-dua pemimpin berharap inisiatif tersebut dapat dimuktamadkan segera dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022.

Pada 8 Nov lalu Ismail mengumumkan Malaysia dan Singapura bersetuju melancarkan Vaccinated Travel Lane (VTL) di antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur mulai 29 Nov ini.

Melalui VTL, pelancong yang divaksin sepenuhnya akan dapat melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, dan tertakluk kepada ujian COVID-19 sebagai ganti kuarantin wajib.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *