• Friday, 18 June 2021, 12:56 am

Malaysia gantung import lembu dari Thailand

 Malaysia gantung import lembu dari Thailand

KUALA LUMPUR, 9 Jun — Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta merta.

Dalam sebuah kenyataan semalam JPV memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas menilai risiko penularan penyakit kulit kental atau berbonjol (LSD) yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di Thailand.

Langkah itu diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand, demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

“JPV menyeru semua penggiat industri (pengimport, peraih dan penternak) memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand.

“Penggiat industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada JPV di negeri dan daerah masing-masing, jika terdapat lembu dan kerbau di ladang atau kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan,” katanya.

JPV turut dilaporkan akan memusnahkan ternakan yang disahkan positif LSD serta merta.

Sementara itu, kandang yang mempunyai ternakan dijangkiti virus itu pula akan diletakkan di bawah pengawasan rapi JPV.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah langkah itu bertujuan untuk memastikan tiada ternakan dibawa keluar atau dijual, sehingga memperoleh pengesahan serta kebenaran daripada JPV.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *