Malaysia dan Uzbekistan pertimbangkan kemungkinan pelaburan bersama dalam projek tekstil

 Malaysia dan Uzbekistan pertimbangkan kemungkinan pelaburan bersama dalam projek tekstil

KUALA LUMPUR, 17 Mac  — Malaysia dan Uzbekistan sedang berunding untuk mempertimbangkan kemungkinan pelaburan bersama dalam projek tekstil di negara Asia Tengah, kata Duta Uzbekistan ke Malaysia, Ravshan Usmanov.

Usmanov berkata, rundingan antara syarikat Malaysia dan Persatuan Industri Tekstil dan Pakaian Uzbekistan (UTGIA) itu untuk kemungkinan memeterai projek pelaburan bersama di wilayah Ferghana dan Samarkand di Uzbekistan.

“Uzbekistan memiliki potensi besar dalam industri tekstil,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya jumlah eksport tahunan barangan industri tekstil Uzbekistan pada 2020 adalah US$1.9 bilion (51 peratus eksport adalah produk siap) ke 68 negara dan menarik pelaburan asing untuk penghasilan produk baharu bernilai US$3.2 bilion.

“Menurut Dasar Pelaburan dan Eksport Aktif Industri Tekstil Uzbekistan, negara itu berusaha untuk meningkatkan eksport kain dari US$1.9 bilion pada 2020 kepada US$7.1 bilion pada 2025.

“Jumlah pekerja di industri ini sekitar 360,000. Pada 2020 ketika membina kemudahan pengeluaran baharu, 16,800 pekerjaan baharu dicipta,” katanya, sambil menambah ketika ini terdapat 1,970 perusahaan berdaftar di bawah industri tekstil, di Uzbekistan.

Usmanov juga mengundang ahli perniagaan Malaysia untuk menyertai tiga acara utama anjuran UTGIA tahun ini – Pameran Mesin Tekstil Antarabangsa Asia Tengah (CAITME), Persidangan Tekstil Uzbekistan (UTC) dan Pameran Antarabangsa Industri Tekstil dan Fesyen (UzTextile Expo).

Mengulas mengenai kerjasama pelaburan dua hala dengan Malaysia, diplomat itu berkata pada 2020, 31 perusahaan, termasuk 21 daripadanya adalah 100 peratus syarikat milik Malaysia, antaranya dalam industri minyak dan gas, tekstil, perabot, produk elektroteknik, perkhidmatan kewangan dan pelancongan, beroperasi di Uzbekistan dengan perkongsian bersama pelabur Malaysia.

“Kami mengundang entiti perniagaan kedua-dua negara untuk lebih aktif mengembangkan kerjasama saling menguntungkan dalam perdagangan, ekonomi dan pelaburan, terutama di bidang elektroteknik, farmaseutikal, pertanian, kimia dan ICT,” katanya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4  +  4  =