• Friday, 18 June 2021, 12:33 am

Malaysia-China hasilkan vaksin COVID-19

 Malaysia-China hasilkan vaksin COVID-19

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Satu vaksin dengan nama CovNiv untuk meningkatkan imunisasi COVID-19 telah dihasilkan menerusi kerjasama Kerajaan Malaysia dengan kerajaan China dan dijangka memasuki pasaran Jun ini.

Menurut satu sumber dari Kementerian Kesihatan, vaksin yang berstatus halal itu telah melalui tiga fasa ujian klinikal di beberapa negara dan bakal dipasarkan.

Sumber itu memberitahu Wacana.my, vaksin COVID-19 yang dihasilkan menerusi kerjasama dua negara itu akan diedarkan di Malaysia menerusi Toppharma Marketing (M) Sdn Bhd selepas ia dibangunkan di Institute of Medical Biology, Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS).

“Kerjasama strategik kerajaan (G2G) ini diambil bagi mempercepatkan lagi usaha meningkatkan tahap imunisasi rakyat Malaysia bagi menghadapi wabak COVID-19 yang kian menular,” kata sumber itu. Terdahulu pada bulan Januari tahun ini, Kementerian Kesihatan telah mengumumkan pelancaran kajian klinikal usahasama strategik tersebut.

“Kerajaan bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk swasta yang ingin membantu melancarkan lagi proses pengedaran vaksin ini kepada mana-mana golongan yang memerlukan.”

Beliau menambah, CovNiv telah melalui siri kajian pra-klinikal, disusuli Hasil Kekebalan dari Kajian Klinikal (Fasa 1 & 2), serta Hasil Keselamatan dari Kajian Klinikal (Fasa 1 & 2). Maklumat hasil kajian umum terhadap 34,020 sampel yang melalui jadual imunisasi bermula hari pertama sehingga ke-14 telah dilakukan, melibatkan orang dewasa yang sihat berumur 18 tahun ke atas.

Daripada jumlah itu, 1,200 sampel diambil di China, Malaysia (3,000), Indonesia (8,000), Mexico (9,820) dan Brazil (12,000) yang melibatkan kajian kekebalan dan keberkesanan vaksin tersebut. Ujian di Malaysia membabitkan pusat-pusat kajian klinikal (CRC) di 9 hospital Kementerian Kesihatan.

Menurut sumber tersebut juga, pengeluar ConNiv mempunyai rancangan berhubung kelulusan dan pembekalan daripada Daftar Penggunaan Darurat (EUL) di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada 1 Mei lalu, penyenaraian penggunaan kecemasan di China bagi ConNiv telah diluluskan. Pihak pengeluar kemudian melakukan pengeluaran yang dikomersialkan dimulakan dengan segera setelah mendapat kelulusan EUL manakala kumpulan vaksin awal akan tersedia untuk bekalan pada Jun.

Kapasiti pengeluaran semasa ialah 80 juta hingga 100 juta dos setahun, dengan peningkatan pengeluaran disasarkan dengan kapasiti sekitar 500 juta dos setahun, pada akhir 2021.

Untuk makluman EUL ialah daftar penggunaan darurat WHO yang akan melalui penilaian ketat terhadap data ujian klinikal Fasa2 dan Fasa 3 serta data-data lain yang penting untuk memastikan keselamatan, kualiti dan keberkesanan sesuatu vaksin sebelum dipasarkan.

Sementara itu, pihak swasta menyambut baik kesediaan kerajaan untuk melibatkan mereka di dalam usaha melaksanakan vaksin COVID-19 ini. Menurut Razrul Anwar Rusli, Ketua Pegawai Eksekutif laman web perubatan Doc24.my, pihaknya bersedia menawarkan platform e-commerce yang mudah digunakan itu bagi memastikan sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan vaksin mendapat bekalan yang diperlukan.

“Kerajaan sudah menjalankan tanggungjawab dan menunjukkan inisiatif dan komitmen yang baik dengan membangunkan vaksin ini. Kini giliran pihak swasta untuk membantu kerajaan menyelamatkan seberapa nyawa rakyat Malaysia yang boleh,” kata Razrul.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *