Malaysia bukan negara imigran

 Malaysia bukan negara imigran

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Jabatan Imigresen hari ini menegaskan, Malaysia bukan sebuah negara imigran seperti yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya memandang serius terhadap laporan yang tidak sahih serta tidak berlandaskan kepada fakta sebenar.

Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud

“Jabatan Imigresen ingin menegaskan, dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing di negara ini adalah jelas.

“Kerajaan telah menetapkan 15 negara sumber bagi pekerja asing iaitu Thailand, Filipina, Cambodia, Myanmar, Laos, Vietnam, Kazakhstan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Turkmenistan, Uzbekistan, Bangladesh, Indonesia dan India.

“Pekerja asing tidak mahir dari negara-negara sumber ini hanya dibenarkan bekerja di dalam sektor yang dikategorikan sebagai sektor 3D (bahaya, kotor dan sukar).

“Antara sektor yang dikategorikan sebagai sektor 3D adalah seperti tapak projek pembinaan, ladang-ladang kelapa sawit, pencuci bangunan atau sebagai buruh di gudang dan pasar raya besar,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah beliau, kerajaan juga telah menetapkan bahawa pekerja asing tidak layak memohon taraf penduduk tetap.

Katanya, majikan yang tidak mematuhi dasar yang ditetapkan boleh dikenakan denda dan hukuman penjara di bawah Akta dan Peraturan Imigresen.

Selain itu, Khairul Dzaimee turut mengingatkan setiap majikan untuk memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pekerja asing mereka setiap tahun dan membayar levi mengikut sektor.

Sehingga 31 Disember 2020, terdapat seramai 1.4 juta pekerja asing di negara ini yang memegang PLKS aktif.

“Tempoh PLKS telah ditetapkan selama 10 tahun dan majikan diberi pilihan untuk menyambung selama 3 tahun lagi dengan kadar levi yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau juga mengatakan, pihaknya sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan dokumen secara konsisten di seluruh negara.

Sejak 1 Januari sehingga 24 Mac tahun ini, Jabatan Imigresen menjalankan 1,197 operasi penguatkuasaan dan seramai 26,008 orang telah diperiksa.

Daripada jumlah itu, 4,745 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 56 orang majikan ditahan dan didakwa manakala seramai 5,417 Pati pula telah diusir ke negara asal mereka sepanjang tempoh ini.

“Sejak Mei 2020, kerajaan telah melaksanakan Op Benteng sebagai langkah untuk mengetatkan kawalan perairan negara,” katanya.

Selain Jabatan Imigresen, operasi ini menggabungkan kekuatan pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Rela dan lain-lain.

Op Benteng dilaksanakan di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) bertanggungjawab menjalankan operasi mengawal sempadan perairan negara dari dibolosi warga asing yang cuba memasuki negara ini secara haram.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

33  −    =  23