• Thursday, 17 June 2021, 2:04 pm

Makmal dadah terbongkar, empat ditahan

 Makmal dadah terbongkar, empat ditahan

Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan heroin yang berjaya dirampas bernilai RM1.77 juta dalan sidang media di IPK Johor semalam

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 12 Jun – Operasi sebuah makmal dadah di daerah ini terbongkar susulan penahanan empat suspek termasuk seorang wanita dalam tiga operasi berasingan antara Rabu hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan sepasang kekasih berusia 21 dan 24 tahun dan merampas dadah jenis heroin di sebuah kondominium di bandar raya ini.

Hasil saringan urin mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis ganja, manakala hasil semakan rekod mendapatinya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Susulan serbuan itu, polis telah membuat satu lagi serbuan di unit berlainan di kondominium yang sama dan menahan dua lelaki berusia 34 dan 35 tahun serta merampas sejumlah dadah jenis heroin dan syabu.

“Hasil saringan urin mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Tangkapan kesemua suspek membawa kepada pembongkaran stor penyimpanan dadah di Perling. Polis kemudian merampas 34.6 kilogram (kg) syabu dan 47.5kg heroin dengan nilai keseluruhan RM1.77 juta,” katanya dalam sidang akhbar, di sini semalam.

Polis turut merampas dua buah kereta dengan nilai sitaan berjumlah RM40,000.

Ayob Khan memberitahu, modus operandi sindiket pengedaran dadah ini dengan menyewa kondominium berpagar dan berpengawal bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Hasil siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi sejak April tahun lalu dan kesemua yang ditahan ini berperanan sebagai penghantar (runner) dan penjaga stor penyimpanan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga 15 Jun ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *