• Wednesday, 16 June 2021, 6:30 am

Makanan segera RM10,000 untuk petugas barisan hadapan

 Makanan segera RM10,000 untuk petugas barisan hadapan

Datuk Mohd Mazri Mahmud menunjukkan antara produk makanan segera yang akan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Pekan

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 22 Mei – Lebih 800 petugas barisan hadapan pelbagai agensi daerah ini menerima sumbangan makanan segera bernilai RM10,000 keluaran
Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd.

Agihan kepada empat agensi terbabit dikendalikan oleh Gerbang Muhibbah Enterprise yang bekerjasama dengan syarikat pengeluar produk makanan berkenaan yang turut menyumbang kepada petugas barisan hadapan di Bentong.

Pengarah Program Sumbangan Prihatin itu, Datuk Mohd Mazri Mahmud berkata, beliau akan menyerahkan sumbangan itu kepada ketua setiap agensi terbabit hari ini sebelum ia diagihkan kepada setiap petugas.

Menurutnya, mereka yang bertugas tanpa mengira tempat dan waktu akan menerima sumbangan berkenaan sebagai usaha meringankan beban ditanggung sepanjang memikul amanah yang kini semakin mencabar.

“Saya difahamkan lebih 250 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan yang bertugas dalam pelbagai bidang terbabit memberi perkhidmatan sejak wabak Covid-19 melanda negara.

“Terdapat dikalangan mereka tidak dapat keluar makan tengahari disebabkan bebanan tugas, dengan sumbangan mee segera Mamee cawan mereka boleh memasaknya di bilik rehat,” katanya, di sini kelmarin.

Beliau menambah, selain anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan kakitangan PKD Pekan, sumbangan turut diberikan kepada anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pekan serta kakitangan Hospital Pekan.

Mohd Mazri berkata, sumbangan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap tugas yang digalas pihak terbabit terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dianggap lebih mencabar kali ini.

Menurutnya, pengorbanan anggota polis, kesihatan, hospital serta bomba dan penyelamat menjalankan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan amat tinggi nilainya dan sebagai penghargaan, pihak Mamee Double Decker tampil menghulurkan sedikit sumbangan.

“Saya berharap sumbangan berkenaan diharap dapat menceriakan lagi petugas barisan hadapan yang kini mengalas tugas dengan penuh semangat walau dalam apa juga keadaan.

“Sumbangan berkenaan turut kepada rumah anak yatim Darussalam, Maahad Tahfiz Pasir Panjang, Maahad Tahfiz Tanjung Agas dan Maahad Tahfiz Ketapang, di sini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *