Majlis pertunangan bertukar tragedi, rumah terbakar

 Majlis pertunangan bertukar tragedi, rumah terbakar

Oleh Nurman Nasyriq

BATU PAHAT, 28 Mac – Kegembiraan dua keluarga sedang melangsungkan majlis pertunangan bertukar duka apabila rumah bakal pengantin terbakar di Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong dekat sini, hari ini.

Kebakaran disedari seorang ahli keluarga pengantin yang terlihat kepulan asap dan api dari dalam bilik bakal pengantin pada jam 1.18 petang.

Hampir 50 ahli keluarga pihak lelaki dan wanita berada dalam rumah itu kemudian kelam kabut menyelamatkan diri.

Dalam keadaan itu, bapa bakal pengantin, Jauhirin Tukirin, 54, yang mempunyai sakit jantung terkejut dan pengsan.

Bapa pengantin dibawa keluar ahli keluarganya dan abang bakal pengantin, Md Saifuldin Jamaat, 32, cedera terpijak kaca ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut.

Ahli keluarga termasuk tetamu yang berada dalam rumah itu cuba memadamkan kebakaran tidak berhasil.

Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng dengan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua jentera Fire Rescue Team (FRT) termasuk dari BBP Penggaram dikejarkan ke tempat kejadian.

Ketua BBP Yong Peng, Penolong Pegawai Bomba Othman Mohd Baher berkata, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang berkeluasan 60 x 60 kaki.

Keadaan rumah selepas api berjaya dipadamkan oleh pihak Bomba

“Kemusnahan kebakaran sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan rumah tersebut. Sebuah motosikal dan kereta turut terbakar.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Operasi tamat pada jam 3.34 petang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

92  −  84  =