Majlis Pemulihan Negeri fokus spesifik isu pemulihan lebih cepat, proaktif – Muhyiddin

 Majlis Pemulihan Negeri fokus spesifik isu pemulihan lebih cepat, proaktif – Muhyiddin

KUCHING, 16 Dis — Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri yang akan memberi fokus lebih spesifik kepada isu-isu di peringkat negeri-negeri.

Menurut Muhyiddin, penubuhannya bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih cepat dan proaktif dapat dilaksanakan.

Perkara itu telah diumumkan oleh beliau ketika bertemu dengan para pemain industri negeri Sarawak dalam rangka lawatannya pada Rabu.

Muhyiddin turut berkongsi tentang fokus dan hala tuju pemulihan negara terutama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pemberian bantuan dan pemulihan segera dalam semua sektor, terutama sektor-sektor kritikal.

“Penubuhan Majlis Pemulihan Negeri akan memberi fokus lebih spesifik kepada isu-isu di negeri ini bagi memastikan langkah penyelesaian yang lebih cepat dan proaktif dapat dilaksanakan.

Katanya, antara perkara yang telah dibangkitkan oleh pemegang-pemegang taruh dalam kalangan komuniti perniagaan Sarawak ialah isu kekurangan tenaga kerja dan masalah mendapatkan pembiayaan segera oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang.

“Para pemain industri turut membangkitkan isu polisi kabotaj, isu gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan kos barangan di Sarawak serta isu-isu lain berkaitan keperluan untuk kelangsungan perniagaan. Mengenai isu sosial pula, mereka melahirkan kerisauan tentang impak kepada sektor pendidikan akibat penutupan sekolah dan institusi pendidikan sehingga berlaku ketinggalan dan keciciran dalam pembelajaran.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa MPN akan bersidang buat kali keenam pada 17 Disember ini, yang mana dua Jawatankuasa Tindakan Khas yang telah dibentuk oleh MPN akan membentangkan laporan dan cadangan masing-masing berkaitan isu yang dihadapi komuniti perniagaan seperti aliran tunai, pembiayaan serta kekurangan tenaga kerja,”katanya,

Malah menurut beliau lagi, Isu-isu ini sangat penting untuk ditangani segera bagi memastikan momentum pemulihan negara terus berjalan dengan baik dan mampu melangkau pencapaian tahun-tahun sebelum pandemik.

Dalam lawatan yang sama, Muhyiddin berkesempatan beramah mesra bersama penduduk dan peniaga di Batu Kawa dan Little India di Kuching.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  5  =