Majlis Fatwa Kebangsaan disaran isytihar jihad satukan Bangsa Melayu

 Majlis Fatwa Kebangsaan disaran isytihar jihad satukan Bangsa Melayu

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 11 Mac: Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri-Negeri mesti mengisytiharkan jihad untuk menyatukan ummah sebagai satu solusi menamatkan perbalahan politik dan perpecahan Bangsa Melayu.

Timbalan Pengerusi Yayasan Fikir Ummah Malaysia, Yazid Haji Maarof berkata, perkara itu dicadangkan atas hakikat pelbagai masalah yang melanda Bangsa Melayu di negara ini perlu ditangani segera secara bijaksana dan holistik.

Beliau berkata, pihak yang mengusahakan penyatuan ini perlu mendapat kerjasama pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan pihak berkuasa agama peringkat negeri supaya majlis fatwa kedua-dua peringkat itu mengisytiharkan jihad untuk menyatukan ummah.

“Usaha ini perlu dilakukan secara bersepadu dan berterusan dengan melibatkan semua pihak sehingga berjaya,” katanya kepada Wacana.my, hari ini.

Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan juga perlu mengisytiharkan jihad membangunkan ummah bag membina tamadun Islam alaf baharu. Ini perlu disegerakan kerana Bangsa Melayu dan ummat Islam sedang diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bala dan bencana sehingga hampir semua negara Islam terus bergolak atau tidak aman serta ditimpa pelbagai wabak penyakit mahupun bencana.

Menurutnya, Bangsa Melayu dan Islam telah berpecah-belah kerana politik atau berbeza pendapat dalam isu tertentu sehingga akhirnya mereka hilang majoriti mahupun kekuatan walaupun jumlahnya ramai.

Justeru, Yazid melihat peranan Majlis Fatwa Kebangsaan boleh diketengahkan selepas usaha serupa tidak menunjukkan hasil.

“Semua ini berpunca daripada kejahilan, sehingga umat Islam khususnya Bangsa Melayu berpecah-belah, bermusuhan dan berseteruan sesama sendiri sedangkan ia amat ditegah oleh syarak, sebaliknya kita diperintahkan supaya bersatu padu dan jangan bercerai-berai.

“Allah menegaskan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW banyak menyebutkan perihal penting bersatu padu, kesan buruk perpecahan serta pedihnya balasan kepada sesiapa yang bermusuhan atau memecahbelahkan ummah,” katanya.

Ketegasan soal penyatuan ummah dinyatakan dalam al-Quran antaranya menerusi Surah Ali Imran 3: 103 serta Surah Asy-Syura 42: 13.

Beliau berkata, penyatuan ummah juga adalah usaha pertama yang Rasulullah SAW lakukan apabila dilantik menjadi Rasul untuk menyatukan bangsa Arab jahilliyah.

Katanya, pola pemikiran bangsa Arab ketika itu terlalu bergantung dengan hukum adat dan Rasulullah menukarkannya kepada pemikiran mengikut hukum syarak yang mengambil masa 13 tahun serta melalui pelbagai cabaran serta rintangan.

“Masyarakat hari ini pula sebahagian besarnya mengikut hukum akal, terkesan daripada dasar pendidikan serta sedikit sebanyak masih dipengaruhi hukum adat,” katanya.

Yazid menegaskan, usaha membasmi kejahilan ummah ialah umat Islam mesti bangkit semula dengan ilmu menerusi pendidikan serta dakwa secara formal, bersistem serta berstruktur menerusi pembelajaran fardu ‘ain dan fardu kifayah.

Beliau turut menarik perhatian soal kuliah awam di masjid atau surau yang lebih menjurus kepada ceramah atau motivasi tetapi tidak fokus kepada aspek akidah, tasawuf serta fiqh ibadah, munakahat, muamalat dan jinayat yang kontemporari untuk diamalkan atau diterjemahkan dalam kehidupan seharian seperti yang dituntut oleh syarak.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

25  +    =  34