MAIWP bantu 24,000 keluarga asnaf fakir, miskin

 MAIWP bantu 24,000 keluarga asnaf fakir, miskin

Datuk Haji Akbar Bin Haji Samon, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP

Oleh Mohd Kamal Ahmad

KUALA LUMPUR, 16 Feb : Terdapat 24,000 keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf ketika ini menerima Bantuan Kewangan Bulanan atau dengan kata lain elaun bulanan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Haji Akbar Haji Samon berkata, bantuan itu tidak termasuk kepada anak-anak keluarga asnaf yang dibantu menerusi bantuan pendidikan bermula daripada peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan bantuan sewa rumah dan bantuan membina atau membaiki rumah serta bantuan perubatan termasuk hemodialisis antara RM2,500 hingga RM3,500 untuk rawatan tersebut selain menyalurkan bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi merancakkan program dakwah dan kemasyarakatan.

Pada 2019, MAIWP mengagihkan RM631.33 juta kepada asnaf di ibu negara selain Labuan dan Putrajaya.

“Zakat yang diterima daripada pembayar zakat diagihkan oleh MAIWP menerusi 30 skim bantuan zakat. Ia  merangkumi keperluan asasi, kebajikan, pendidikan, perubatan, keusahawanan dan dakwah. Maklumat mengenai skim bantuan ini boleh dilayari di www.maiwp.gov.my.

“Selain agihan menerusi skim bantuan tersebut, MAIWP memanfaatkan dana zakat menerusi institusi pendidikan, kebajikan dan prasarana umat Islam yang memberi manfaat berpanjangan kepada umat Islam,” katanya kepada Wacana.my.

Ditanya bagaimana MAIWP melihat permasalahan kemiskinan umat Islam dalam bandar khususnya di ibu negara, Akbar berkata, usaha mengatasi masalah kemiskinan bandar perlu dilaksanakan secara kolektif oleh semua pihak.

MAIWP pula melihat antara cara membantu mereka adalah menerusi bantuan berimpak tinggi yang dapat mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

“Antara yang telah dilaksanakan adalah menerusi Program Asnafpreneur yang melatih usahawan dan peniaga kecil di kalangan asnaf untuk mengembangkan lagi perniagaan. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama SME Corp menerusi program Tunas Usahawan Baitulmal.

“Peserta program ini akan menerima bantuan daripada MAIWP dan dilatih dengan ilmu keusahawanan dan MAIWP mensasarkan mereka keluar daripada kemiskinan dan akhirnya menjadi pembayar zakat pula,” katanya.

Beliau berkata, tiada jumlah pendapatan tertentu yang ditetapkan MAIWP dalam menentukan kelayakan penerima bantuan sebaliknya melihat kepada pendapatan isi rumah dan dibandingkan dengan keperluan setiap isi rumah/tanggungan

“Terdapat mereka yang bergaji tinggi tetapi mempunyai tanggungan yang ramai tetap layak menerima bantuan zakat. MAIWP menggunakan pengiraan Had al-Kifayah dalam menentukan kelayakan penerima bantuan,” sambil memberitahu kalkulator Had al-Kifayah boleh dirujuk di laman web MAIWP.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

33  −    =  28