Mailo dan Barny terima anugerah

 Mailo dan Barny terima anugerah

Calvin Maluni (kiri) dan K. Thiru bersama-sama Barny dan Mailo, dua ekor anjing Unit K9 yang menerima Anugerah Ketua Polis Johor hari ini.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 25 Mac — Dua ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Unit K9 antara 139 penerima Anugerah Ketua Polis Johor pada Sambutan Hari Polis Ke-214 peringkat negeri, hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua ekor anjing baka German Shepherd bernama Mailo dan Barny itu banyak berjasa dalam menyelesaikan kes termasuk yang berprofil tinggi.

Menurutnya, antara kes yang menggunakan khidmat dua anjing tersebut ialah dalam mengesan mayat seorang wanita yang dibunuh kejam oleh suaminya dalam kejadian di Kota Tinggi pada awal bulan ini.

“Anjing ini sudah bersama-sama Kontinjen Johor sejak dua tahun lalu dan banyak memberi sumbangan. Peranan Unit K9 ini banyak berjasa bukan sahaja kepada Kontinjen Johor, malah kepada PDRM di seluruh negara.

“Dalam kes mencari dan mengesan mayat, unit ini memainkan peranan penting. Sebab itu kita kali ini memberi sumbangan kepada pengendali serta anjing tersebut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perbarisan Sempena Sambutan Hari Polis Ke-214 peringkat negeri di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, Mailo dikendalikan oleh Lans Koperal K Thiru, manakala Barny dijaga oleh Lans Koperal Calvin Maluni.

Pada majlis tersebut, seramai 139 menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Johor termasuk 10 pengamal media.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  3  =  2