Mahkamah saran pihak masjid mohon maaf kepada Daniel Iskandar

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM : Pihak yang terbabit dalam video rakaman memaparkan Daniel Iskandar diseksa ala kumpulan militan iaitu cara Waterboarding kerana cubaan mencuri sebelum ini, disaran memohon maaf kepada remaja lelaki berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Abdul Halim Aman berkata, permohonan maaf itu perlu dilakukan kepada pesalah (Daniel Iskandar) khususnya dan masyarakat secara umumnya.

Katanya, perkara itu bukan satu perintah mahkamah sebaliknya saranan daripada beliau.

Keadaan Daniel Iskandar ketika diseksa

Jika saranan itu dipersetujui, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) boleh mengaturkannya perkara berkenaan.

“Langkah ini bagi menjernihkan semua pihak agar tidak berpanjangan dan diharap perbincangan dapat dilakukan dan dipersetujui (saranan mohon maaf itu),” katanya dalam penghakimannya.

Abdul Halim berkata langkah itu juga bertujuan bagi mengambil iktibar demi masa hadapan Keluarga Malaysia.

“Yang berlaku biar berlalu dan tidak boleh dipadamkan. Sebaliknya, jadikan pengajaran dan setakat ini kemaafan secara terbuka boleh menjernihkan keadaan,” katanya.

Terdahulu, pada prosiding semakan kehakiman, Abdul Halim mengenepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 dikenakan Mahkamah Majistret Selayang, sebelum ini.

Mahkamah sebaliknya menggantikan kepada khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan.

Media sebelum ini, melaporkan remaja lelaki, Daniel Iskandar, 19, yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, di sini.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel, selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Bagaimanapun, imam terkait dengan kontroversi di Masjid Al Islahiah Kuang, di Rawang, Selangor, itu sudah meletakkan jawatan, berkuat-kuasa Jumaat lalu.

Perbuatan pihak masjid itu dipercayai dia dipukul, diserkup muka, disembur air ala Waterboarding, dirakam, ditular dan diaibkan di khalayak sehingga media mendedahkan keadaannya dimandikan seperti jenazah, selepas dikatakan cuba mencuri tabung masjid berkenaaan.

Remaja berkenaan kemudian, melantik Tetuan Hariz Syakinah & Co. yang dilakukan dengan bantuan PPMM bagi mewakili dirinya, di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, hari ini.