Mahkamah benar anak Shah Rukh Khan diikat jamin

 Mahkamah benar anak Shah Rukh Khan diikat jamin

NEW DELHI, 28 Okt — Mahkamah India pada Khamis membenarkan permohonan ikat jamin ke atas Aryan Khan, 23, anak bintang Bollywood, Shah Rukh Khan yang ditahan agensi narkotik atas tuduhan berkaitan dengan rampasan dadah.

Aryan ditahan dalam keadaan penuh kontroversi bersama beberapa lagi orang oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) di Mumbai pada awal bulan ini.

Dalam penghakiman itu, Mahkamah Tinggi Bombay membenarkan permohonan ikat jamin ke atas Aryan dan dua lagi yang mempunyai kaitan dengan kes ini.

Isu dadah sejak beberapa hari ini mencetuskan kontroversi berikutan timbul dakwaan manipulasi saksi, bukti palsu serta tuduhan cuba memeras berjuta dolar sebagai tebusan daripada bintang filem itu.

Nawab Malik, seorang menteri Kerajaan Maharashtra sebelum ini menuduh agensi dadah yang dikawal kerajaan persekutuan, tidak mempunyai kes kukuh ke atas anak lelaki pelakon itu.

Media pula melaporkan, tiada sebarang dadah terlarang ditemukan pada Aryan.

Ketika masih diselubungi kontroversi, polis di bandar raya Pune, kira-kira 150 kilometer dari Mumbai pada Khamis, menahan Kiran Gosavi, lelaki yang dikatakan sebagai penyiasat persendirian dan menjadi saksi kes dadah berkenaan, berhubung kes penipuan pada 2018.

Swafoto Gosavi bersama Aryan Khan tular di media sosial mencetuskan persoalan mengenai hubungan penyiasat itu dengan NCB

Pengarah Wilayah Agensi itu, Sameer Wankhede, sebelum ini memohon perlindungan mahkamah selepas beliau ditahan atas tuduhan salah laku.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *