MAFI mahu kerjasama kerajaan-swasta bangunkan industri tuna

 MAFI mahu kerjasama kerajaan-swasta bangunkan industri tuna

BUTTERWORTH, 9 Sept — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mahu supaya pihak swasta untuk terlibat dalam industri tuna ini di Malaysia, agar sumber kekayaan negara dapat dimanfaat oleh semua pihak.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata semua pihak harus mengambil peluang Malaysia sebagai ahli ‘Indian Ocean Tuna Commission (IOTC)’, untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi dan menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat.

Menurutnya bagi memastikan pembangunan industri tuna terus berkembang, kerjasama di antara kerajaan dan pihak swasta adalah penting termasuk pelaburan swasta, bagi memastikan industri tuna di Malaysia dapat dimanfaatkan oleh semua pihak.

“Kerjasama pihak swasta akan dapat meningkatkan kemasukan vesel tuna ke pelabuhan tersebut, yang mampu melonjakkan hasil pendaratan tuna di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke program Tuna di Dermaga Ayer Dalam di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 20 lesen iaitu 19 buah vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel pengangkut tuna, telah dilesenkan dan sudah beroperasi di Launtan Hindi.

Katanya sebagai ahli IOTC, negara diberi kuota untuk mengeluarkan 70 lesen dan kini masih mempunyai ruang untuk mengalakkan pertumbuhan yang lebih besar.

Ronald berkata walaupun negara dalam keadaan pandemik, tetapi industri pendaratan ikan tuna masih menunjukkan peningkatan yang sihat.

Katanya tahun ini sehingga Ogos lepas, negara telah merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 58,550 tan metrik bernilai RM520 juta.

“Daripada jumlah tersebut, pelabuhan Pulau Pinang telah menerima pendaratan tuna sebanyak 1,301 tan metrik dengan nilai RM19.5 juta dan dieksport ke negara Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata industri perikanan tuna kian rancak dibangunkan dan satu pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030, akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Katanya pelan ini akan menggalakkan pertumbuhan yang lebih ke hadapan dalam industri tuna dan laut dalam.

“Pelan itu wajar diterjemahkan dengan memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan oleh semua pihak kerana ia tidak terhad kepada aktiviti penangkapan sahaja, malah pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, setakat ini Malaysia mempunyai dua pelabuhan pendaratan ikan tuna, iaitu di Pulau Pinang dan di Langkawi.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  2