Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Lubuk ditimbun pasir, hanya lampam ikut balik

Oleh Zulkarnain Omar
PEKAN, 28 Mac – Tepat sekali peribahasa ‘sekali air bah, sekali pasir berubah’. Banjir besar yang melanda Pahang, awal tahun ini telah menyebabkan struktur Sungai Pahang berubah apabila kebanyakan lubuk ikan mahupun udang galah yang ditanda atau dikenal pasti, kini lenyap ditimbun pasir yang dibawa dari hulu.
Selain alur berubah, sesetengah laluan di tengah sungai kini tohor atau menjadi pulau pasir. Banyak keadaan yang mengelirukan ketika penulis mengunjungi Sungai Pahang, baru-baru ini. Di tempat tertentu, penulis terpaksa melompat keluar dari bot dan menariknya kerana dasar sungai terlalu tohor atau cetek.
Lubuk udang galah dan patin buah yang lazim dikunjungi lesap entah di mana!
Kehadiran penulis ternyata langkah kiri. Musim kemarau dan cuaca panas terik membataskan pergerakan. Terasa tidak terdaya untuk mengheret bot jauh-jauh di bawah panas terik, dengan kudrat yang ada pada usia sebegini.
Untuk mencari lubuk baharu, jadi satu hal lain dan yang pasti bukan untuk trip kali ini.

Dijangkakan, jika keadaan kemarau ini berlarutan maka paras air sungai ini akan makin menyusut dan pendapatan nelayan sungai turut terkesan. Air masin akan mudik ke zon yang bukan sewajarnya. Air masin akan memusnahkan habitat semula jadi air tawar. Keadaan sebegini kebiasaannya akan berlarutan sehingga beberapa bulan sehingga tiupan angin barat mengambil alih tempat.
Pencarian trip ini agak menghampakan. Setiap balingan umpan tidak disambut. Satu demi satu umpan ditukar tetapi keadaan tetap sama. Kami terpaksa mengesan kedalaman air sebelum berlabuh di sesuatu tempat. Ditambah pula air nya yang jernih menyebabkan penghuninya dapat menggesan kehadiran kami. Bila keadaan sebegini balingan sejauh mungkin adalah lebih baik dan umpan yang disentuh pada masa itu ialah perumpun dan cacing.
Pada penghujung kunjungan, Ahmad Bahari mendaratkan seekor ikan lampam dan beberapa ekor udang bersaiz sederhana.

Pemancing juga dinasihatkan supaya tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas melampau ini bagi menggelakkan terkena strok haba yang boleh memudaratkan kesihatan.
Masa banyak dihabiskan dengan mencari lubuk baru tetapi agak kecewa dengan sambutan dingin sang penghuni nya. Kami mengambil keputusan menghentikan misi pencarian ini awal dari yang sepatutnya dan akan mengulanginya sedikit masa lagi.