Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

 Long Tiger mengaku salah, dipenjara 12 bulan

Long Tiger

TANGKAK, 20 Januari – Long Tiger atau nama sebenarnya┬á

Abdul Hamim Ab. Hamid dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini kerana melarikan diri daripada tahanan polis pada 15 Disember lalu.

Tertuduh yang merupakan seorang lelaki berketurunan Rohingya berusia 33 tahun  membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zaridah Y. Abdul Jaapar.

Zaridah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap, iaitu pada 28 Disember 2021 di Penjara Kluang.

Mengikut pertuduhan, Abdul Hamim didakwa dengan sengaja melarikan diri daripada jagaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa tertuduh ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak di sini pada jam 11.55 pagi, 15 Disember 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Abdul Hamim (tiga, kiri) diiringi anggota polis ketika dibawa untuk pendakwaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan meminta anggota polis yang ditugaskan membuka gari.

Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk lolos daripada tahanan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut menetapkan tarikh 14 dan 16 Februari ini bagi bicara empat kes melibatkan Abdul Hamim iaitu mengikut Seksyen 388, 342 dan 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Tangkak.

Pendakwaan dikendalikan, Pengarah Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyum Rahman.

Tertuduh pula diwakili peguam, Datin Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md. Yusoff.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

59  −  50  =