• Thursday, 17 June 2021, 12:31 pm

Keberkesanan lockdown PKP 3.0 jawab kritikan kluster merungut

 Keberkesanan lockdown PKP 3.0 jawab kritikan kluster merungut

Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR, 7 Jun. – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaru ini atau ‘lockdown’ yang berkuat kuasa 1 Jun hingga 14 Jun telah menunjukkan hasil yang diinginkan.

Katanya, beliau turut tertarik dengan data “SEIR Model” iaitu bilangan kes sebenar berbanding bilangan kes jangkaan jika tiada pematuhan kepada SOP, seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah kelmarin.

“Saya amat bersyukur mendengar pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa kadar kebolehjangkitan atau Ro/Rt COVID-19 pada 6 Jun 2021 telah turun ke 0.99. Pada hari ini pula, kita mendengar bahawa bilangan kes baru juga telah turun ke 5,271 kes.

“Jika kita teliti data tersebut, kita akan melihat bahawa tanpa pematuhan SOP, maka Malaysia akan menghadapi bilangan kes yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, tindakan ‘lockdown’ serta penguatkuasaan yang lebih ketat telah mula nampak hasilnya dalam masa beberapa hari sahaja,” katanya kepada Wacana.my.

Menurutnya, hasil yang dicapai oleh PKP terbaru ini sekali gus menafikan segala tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan seolah-olah tidak mempunyai rancangan yang terperinci.

“Walaupun ada ‘kluster merungut’ yang tak habis-habis merungut untuk meraih kepentingan politik peribadi, data menunjukkan kita berada di jalan yang betul dan kita boleh berjaya jika kita terus mematuhi segala nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan. Secara realiti, tindakan kerajaan telah menunjukkan hasil yang positif.

“Biarlah mereka terus merungut kerana mereka memang mahu mencari perhatian untuk diri mereka. Macam mana sekalipun, mereka ini akan sentiasa mencari jalan untuk merungut,” katanya.

Selain itu, Wan Saiful turut menyeru semua rakyat Malaysia, tak kira rakyat biasa mahupun berpangkat untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Yang penting kita jaga kita dan jaga saudara mara serta jiran-jiran kita supaya kita semua akan menyumbang dalam perang melawan COVID-19 ini. Mari kita sokong usaha kerajaan demi kesihatan kita dan keluarga kita sendiri,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *