• Sunday, 20 June 2021, 9:46 am

Littlecandy kelengkapan bayi bertaraf antarabangsa

 Littlecandy kelengkapan bayi bertaraf antarabangsa

Wan Norkhaziehan dengan sebahagian produk kelengkapan bayi yang dihasilkan di bengkelnya.

Oleh Mohd Fikri Mie

PEKAN, 1 Jun – Pengalaman lebih 10 tahun menghasilkan kelengkapan tidur bayi menjadi kelebihan untuk meletakkan produk yang dihasilkan mampu berada di pasaran antarabangsa.

Menurut Wan Norkhaziehan Mohd Jaafar, 30, antara produk utama dihasilkan ialah kain cadar, bantal, tilam dan barangan cenderamata pelbagai saiz dan rekaan khusus untuk bayi.

Katanya, pengalaman luas selain penggunaan kain dan kekabu yang berkualiti tinggi menjadi kelebihan untuk produk dihasilkan diterima dipasaran tempatan dan antarabangsa.

“Saya terpaksa mengimport kekabu gred AA dari Indonesia sejak beberapa tahun lalu disebabkan kekurangan kekabu tempatan yang berkualiti.

“Setiap dua bulan saya mengimport lima hingga enam tan kekabu bersih untuk kegunaan syarikatnya bagi menghasilkan pelbagai produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Setiap bulan lebih 1,250 kilogram kekabu digunakan dan jumlahnya akan bertambah sekali hingga dua kali ganda bergantung kepada permintaan produk keluarannya,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau yang menjalankan perusahaan di Taman Tanah Putih Tiga, di sini menambah, penggunaan kekabu 100 peratus selain kain jenis kapas import berkualiti tinggi menjadi kelebihan produk kelengkapan tidur bayi keluarannya dengan jenama Aziejaafarhandmade dan Littlecandy diterima semua lapisan masyarakat.

Kerja menjahit dilakukan tujuh pekerja di bengkel.

Wan Norkhaziehan berkata, produk utama mendapat permintaan tinggi dalam dan luar negara ialah tilam bayi yang mempunyai reka bentuk tersendiri dan bersulam selain corak kain menarik serta berkualiti tinggi.

Katanya, set tilam bayi bersama lima bantal kini menjadi produk utama mendapat permintaan tinggi dalam negara termasuk Singapura dan Brunei yang dijual dengan harga RM95 hingga RM190.

“Setiap hari saya mampu menghasilkan 15 hingga 20 set tempat tidur bayi bagi memenuhi permintaan¬†12 pemborong seluruh negara.

“Seramai tujuh pekerja wanita digunakan dan mereka mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti jahitan, memotong kain, sulaman dan rekaan.

“Pasaran dalam talian (online) dan penghantaran menggunakan syarikat penghantaran kini digunakan sepenuhnya yang dianggap lebih mudah,¬†cepat, jimat dan memenuhi pemintaan pemborong,” katanya.

Beliau berkata, hampir setiap bulan dia menghasilkan produk rekaan baru ciptaan sendiri dan pelanggan, pemborong hanya perlu membuat pesanan selepas melihat gambar yang disediakan.

Katanya, sokongan suami Wan Mohd Zaki Wan Mohamad Razali, minat dan pendedahan selama enam bulan di Pusat Giat MARA Kuantan dalam bidang jahitan pada 2008 memberi kelebihan kepadanya menceburi perniagaan menghasilkan pelbagai produk kelengkapan tidur bayi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *