• Wednesday, 16 June 2021, 6:03 am

Lima pengedar diberkas, dadah RM4.52 juta dirampas

 Lima pengedar diberkas, dadah RM4.52 juta dirampas

Datuk Ayob Khan (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dalam operasi Polis Marin Wilayah 2 Muar dalam sidang akhbar di IPK Johor, hari ini.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 18 Mei – Lima pengedar dadah termasuk seorang wanita Indonesia gagal menyeludup 125.78 kilogram (kg) dadah disyaki jenis syabu bernilai RM4.52 juta apabila mereka diberkas dalam dua operasi berasingan di sekitar Muar, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu yang diberkas terdiri daripada empat lelaki tempatan dan seorang wanita Indonesia berusia antara 36 hingga 49 tahun pada 12 hingga 14 Mei lalu.

Menurutnya, serbuan pertama dibuat jam 1 petang di sekitar Parit Jawa hasil risikan Unit Risikan Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor.

“Dalam operasi ini polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bersama sejumlah dadah jenis syabu sebelum hasil siasatan membawa kepada tangkapan dua lelaki dan seorang wanita.

“Hasil serbuan ini polis merampas 84 kilogram syabu bernilai RM3.02 juta selain dua kereta dirampas serta menyita sebuah akaun bank bernilai RM36,762.50,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, modus operandi sindiket ini dengan menyewa rumah kampung sebagai transit untuk menyimpan bekalan dadah dari utara Semenanjung sebelum diseludup keluar ke Indonesia.

Dalam operasi berasingan jam 7 malam Jumaat lalu, polis merampas 41.78 kilogram dadah disyaki dadah jenis syabu bernilai RM1.5 juta selepas menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun dalam keadaan mencurigakan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bakar Batu arah Melaka-Muar, Muar.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah akaun bank mengandungi wang tunai RM1,612.94 selain ujian saringan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan akaun bank adalah berjumlah RM4.68 juta. Rampasan dadah ini disyaki mampu menampung untuk kegunaan 628,900 penagih,” katanya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 19 hingga 21 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *