Lima pemandu mabuk ditahan, lebih 100 saman dikeluarkan

 Lima pemandu mabuk ditahan, lebih 100 saman dikeluarkan

Anggota polis memeriksa tahap alkohol ke atas seorang pemandu dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Ecoflora Utama, Setia Indah, Johor Bahru malam semalam.

JOHOR BAHRU, 11 Okt -– Isu pemandu mabuk seperti tiada kesudahannya walaupun ramai yang sudah dikenakan hukuman.

Apakah hukuman tersebut tidak cukup berat atau kaki mabuk tidak ambil peduli, asalkan dapat meneguk arak yang diingini.

Namun, tugas pasukan keselamatan sentiasa dilaksanakan bagi melindungi keselamatan pengguna jalan raya lain daripada menjadi mangsa pemandu mabuk.

Dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan di Jalan Ecoflora Utama, Setia Indah malam semalam, seramai lima pemandu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam operasi bermula jam 10 malam itu, sebanyak 110 kenderaan diperiksa dan 83 saman melibatkan 128 pelbagai kesalahan telah dikeluarkan.

“Lima pemandu yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 33 hingga 57 tahun telah ditahan kerana didapati memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya sambil memaklumkan operasi melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) JBS itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor dan Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Dalam pada itu, JPJ Johor turut mengeluarkan sebanyak 47 notis saman bagi pelbagai kesalahan dan menyita 12 motosikal atas pelbagai kesalahan trafik di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *