Lima PATI Indonesia ‘kempunan’ balik kampung, dicekup semasa tunggu bot

 Lima PATI Indonesia ‘kempunan’ balik kampung, dicekup semasa tunggu bot

Lima PATI warga Indonesia ditahan ketika cuba keluar dari negara ini di pinggir Jalan Kampung Punggai-Desaru, Kota Tinggi awal pagi tadi.

KOTA TINGGI, 12 Sept — Perlakuan mencurigakan sekumpulan individu di Jalan Kampung Punggai-Desaru berhampiran Ladang Kurnia, dekat sini awal pagi ini membawa kepada penangkapan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia.

Pada mulanya anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang melakukan rondaan di kawasan itu pada jam 1 pagi terlihat gerak-geri kumpulan lelaki tersebut dalam keadaan mencurigakan.

Hasil maklumat diterima, pasukan telah menghantar pasukan Quick Reaction Force (QRF) bagi melakukan penjejakan.

Hasil serbuan pada jam 1.30 pagi, pasukan berkenaan berjaya menangkap PATI berkenaan yang sedang bersembunyi di kawasan tepi pantai jalan berkenaan.

“Kesemua lima PATI tersebut terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita merupakan warganegara Indonesia berusia antara 23 hingga 40 tahun dipercayai sedang menunggu bot untuk pulang ke negara asal melalui jalan yang tidak sah,” demikian menurut kenyataan Markas Divisyen Infantri Malaysia (3 Divisyen), hari ini.

Pasukan berkenaan turut merampas wang tunai RM7,804 dan mata wang Indonesia IDR550,000 (RM159.56) serta 10 telefon bimbit dan dua utas jam tangan.

Kesemua PATI kemudian dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  34  =  38