Lima kaedah daftar vaksin COVID-19

 Lima kaedah daftar vaksin COVID-19

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Kerajaan menyediakan lima kaedah pendaftaran bagi orang ramai mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi dalam talian mahupun secara manual.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini mengeluarkan Buku Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, di mana dua kaedah pendaftaran secara dalam talian adalah menerusi aplikasi MySejahtera atau laman khas di www.vaksincovid.gov.my

Manakala secara manual menyediakan tiga kaedah bagi membolehkan orang ramai mendaftar iaitu dengan hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta, menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan) serta menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Maklumat mengenai janji temu seperti tempat dan tarikh akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau pesanan ringkas SMS,” menurut buku program tersebut.

Malaysia telah mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX serta pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin lain.

Menurut buku yang dikeluarkan, daripada lima pengeluar vaksin itu, Pfizer-BioNTech telah memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Jan lalu, manakala empat calon vaksin COVID-19 masih dalam proses untuk kelulusan NPRA.

Semua vaksin yang dibekal akan diterima Malaysia secara berperingkat bermula Februari tahun ini dan tertakluk kepada kelulusan pendaftaran PBKD.

Lima pengeluar vaksin berkenaan adalah dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), CanSinoBIO dan Sputnik V.

Bagi individu yang mengalami kesan sampingan suntikan boleh membuat laporan di fasiliti kesihatan terdekat, aplikasi MySejahtera atau di portal laporan ConSERF NPRA di www.npra.gov.com.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

19  +    =  27