Liga Super: KL City pula sekat JDT, KDA FC benam MUFC

 Liga Super: KL City pula sekat JDT, KDA FC benam MUFC

KUALA LUMPUR, 30 April — Pemain KL City FC Daniel Sang Ting (tengah) diasak dua pemain Johor Darul Ta’zim pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam ini. Kuala Lumpur mendahului 1-0 pada separuh masa pertama. –fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 April — Kuala Lumpur (KL) City FC berjaya menafikan peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk kembali ke landasan kemenangan selepas mengikat skuad itu dengan keputusan seri 1-1, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, dalam saingan Liga Super malam tadi.

Turun selaku pasukan pilihan, Harimau Selatan yang mendominasi separuh masa pertama hampir mendahului perlawanan namun sepakan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-38 oleh pemain import Gonzalo Gabriel Cabrera sekadar menggegarkan palang gol tuan rumah.

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi pemain import Romel Morales yang dengan mudah menolak masuk bola ke gawang JDT, hasil tandukan rakan sepasukan, Muhammad Fakrul Aiman Sidid pada minit ketiga masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan kapten Hariss Harun pada minit ke-55 hasil sepakan sudut oleh Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Jaringan penyamaan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan dan menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Keputusan seri itu tidak menggugat kedudukan JDT yang kekal di tangga teratas liga dengan 24 mata berbanding pencabar terdekat Terengganu FC yang mengumpul 21 mata serta berkelebihan satu perlawanan, manakala KL City FC pula di tangga ketujuh dengan 13 mata.

MELAKA, 30 April — Ketua pasukan Kedah Darul Aman FC Baddrol Bakhtiar (kiri) cuba menghalang kemaraan pemain Melaka United FC Alex Dos Santos Goncalves (tengah) dalam saingan bola sepak Liga Super di Stadium Hang Jebat malam ini.
Kedua-dua pasukan terikat dengan 1-1 menerusi jaringan sepakan panalti pada separuh masa pertama. –fotoBERNAMA (2021)

Satu lagi keputusan menyaksikan Kedah Darul Aman FC naik ke tangga kedua  liga dengan 23 mata selepas ia membenam Melaka United FC 3-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Pemain import, Kpah Sherman meletakkan pelawat di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-18 sebelum Stefan Nikolic menyamakan kedudukan, juga menerusi jaringan penalti, pada minit ke-38

Skuad Lang Merah menggandakan asakan sejurus babak kedua bersambung dan hasilnya Kpah Sherman sekali lagi meledakkan gol pada minit ke-62 sebelum Baddrol Bakhtiar memastikan pasukannya memungut tiga mata penuh empat minit sebelum perlawanan tamat.

Kekalahan dialami Melaka United FC itu menyebabkan mereka kekal di tangga kelapan liga dengan 10 mata selepas mengharungi 11 perlawanan.

Berikut adalah keputusan perlawanan Liga Super 2021 yang berlangsung di beberapa venue malam ini:

LIGA SUPER

——————

Kuala Lumpur City FC                  1              Johor Darul Ta’zim           1

Melaka United FC                         1             Kedah Darul Aman FC      3

Kedudukan pasukan Liga Super 2021 selepas perlawanan malam tadi:

P M S K J B Mata
Johor DT 11 7 3 1 24 6 24
Kedah DA FC 11 7 2 2 20 12 23
Terengganu FC 10 6 3 1 14 7 21
Penang FC 10 5 4 1 13 7 19
Selangor FC 10 4 3 3 17 15 15
PJ City FC 10 3 5 2 9 11 14
KL City FC 11 3 4 4 13 12 13
Melaka United 11 3 4 4 14 16 10
Sabah FC 10 2 4 4 12 14 10
Perak FC 10 2 3 5 10 16 9
Sri Pahang FC 10 1 2 7 6 18 5
UiTM FC 10 0 1 9 3 21 1

 

(Nota : Melaka United ditolak tiga mata selepas isu tunggakan gaji)

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  2  =