LHDN nafi aktiviti audit, siasatan dan pemungutan bermotifkan politik

 LHDN nafi aktiviti audit, siasatan dan pemungutan bermotifkan politik

KUALA LUMPUR, 6 Mac — Pemilihan kes untuk tindakan penguatkuasaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap mana-mana individu adalah berdasarkan kriteria daripada sudut kegagalan mematuhi perundangan percukaian semata-mata dan tidak bermotifkan politik.

LHDN dalam kenyataan hari ini menjelaskan bahawa tindakan aktiviti audit atau siasatan terhadap mana-mana individu termasuk ahli politik adalah bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang percukaian yang berkuat kuasa.

“LHDN tidak menyimpan maklumat kaum, agama mahupun kecenderungan politik individu dalam pangkalan datanya kerana maklumat sebegitu tidak membantu penilaian risiko sesuatu kes. Pada masa sama, maklumat individu atau syarikat yang dikenakan tindakan audit dan siasatan juga tidak didedahkan oleh LHDN kerana tertakluk kepada peruntukan kerahsiaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, LHDN sebagai sebuah agensi utama pemungut hasil negara kekal komited menjalankan amanah yang diberikan tanpa rasa bimbang atau pilih kasih.

LHDN sentiasa adil, saksama dan berintegriti kepada semua pembayar cukai serta bertindak berpandukan peruntukan undang-undang percukaian negara secara teratur dan profesional, menurut kenyataan itu.

LHDN menegaskan setiap aktiviti penguatkuasaan termasuk aktiviti pungutan dan guaman sivil dilakukan berlandaskan akta-akta percukaian serta berpandukan Rangka Kerja Audit Cukai (RKAC) dan Rangka Kerja Siasatan Cukai (RKSC) yang boleh diakses menerusi portal rasmi LHDN.

“Sekiranya orang awam, syarikat mahupun pertubuhan tidak berpuas hati dengan taksiran dibangkitkan, atau merasakan terdapat kesilapan pada cukai yang dikenakan, rayuan boleh dibuat kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) dengan mengemukakan Borang Q boleh dimuat turun dan dicetak di portal rasmi LHDN.

“Borang Q lengkap berserta alasan hendaklah dikemukakan ke cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan perayu,” menurut kenyataan itu.

Sebelum Borang Q dikemukakan kepada PKCP, pembayar cukai boleh berbincang dengan LHDN melalui platform Prosiding Resolusi Pertikaian untuk mencapai penyelesaian luar mahkamah, dan sekiranya persetujuan luar mahkamah tidak dapat dicapai, borang tersebut akan dikemukakan dan diputuskan PKCP.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN menerusi pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

31  +    =  38