LHDN buktikan kemampuan adaptasi norma baharu operasi pencukaian

 LHDN buktikan kemampuan adaptasi norma baharu operasi pencukaian

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Meskipun mendepani suasana ekonomi yang suram serta mencabar, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sekali lagi telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma-norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata LHDNM telah memainkan peranan penting dalam memastikan kedudukan kewangan negara mencukupi bagi membiayai perancangan perbelanjaan kerajaan.

“Perkara ini diteruskan lagi menerusi kejayaan LHDNM merekodkan jumlah kutipan cukai tahun lalu pada angka RM123.09 bilion iaitu RM1.39 bilion atau 1.14 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak RM121.7 bilion yang merupakan semakan sasaran kali ketiga oleh Kementerian Kewangan (MOF),” katanya dalam ucapan perasmian Hari Hasil ke-25 LHDNM secara maya hari ini.

Beliau berkata kejayaan memperoleh jumlah kutipan cukai yang disasarkan ini membuktikan bahawa walaupun dalam suasana pandemik, masih terdapat industri-industri yang tidak terjejas, malah ada yang mendapat keuntungan besar kesan daripada pandemik tersebut.

Katanya, kerajaan berterima kasih kepada industri-industri ini yang telah memainkan peranan dengan baik meskipun di tengah-tengah penularan pandemik dan menyumbang dalam bentuk cukai yang dibayar demi menstabilkan kembali ekonomi negara.

“Saya yakin masih terdapat banyak ruang yang boleh diterokai oleh LHDNM bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi, mengenal pasti industri-industri dan sektor-sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri daripada radar LHDNM.

“Mudah-mudahan, dengan meneroka peluang-peluang baharu, sasaran kutipan yang disasarkan oleh pihak kerajaan kepada LHDNM pada 2021 ini yang berjumlah RM 143.9 bilion dapat dicapai,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata harapan kerajaan khususnya pihak MOF kepada LHDNM amat besar kerana LHDNM merupakan sebuah agensi yang sentiasa dilihat memenuhi prestasi yang diharapkan.

“Kecekapan LHDNM melaksanakan fungsinya hari ini adalah bukti kepada keputusan yang tepat untuk mengubah status LHDNM daripada jabatan kepada lembaga 25 tahun yang lalu,” katanya.

Beliau turut berharap agar LHDNM akan terus fokus dan komited dalam menjalankan amanah yang telah diberikan kerana kelangsungan kewangan negara bergantung kepada kebolehan badan tersebut melunaskan tugasan dan amanah yang diberikan.

Katanya kecekapan dan keberkesanan melaksanakan fungsi akan mengelakkan negara daripada terjerumus dalam langkah-langkah penjimatan kerajaan seperti yang pernah berlaku di negara lain akibat kegagalan sistem percukaian dalam menjamin kedudukan kewangan negara.

“Saya juga pasti, LHDNM telah pun menyusun, mengatur dan mengenal pasti strategi-strategi percukaian bagi mencapai sasaran tersebut atau memperolehi jumlah yang lebih daripada itu, lebih-lebih lagi bulan pembayar cukai melaporkan cukai akan bermula tidak lama lagi.

“LHDNM telah membuktikan bahawa organisasi ini bukan hanya berkemampuan mengutip cukai kepada mereka yang layak dikenakan cukai, tetapi mereka sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan cekap dan berkesan,” katanya.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

21  +    =  23