Lewat agih benih padi disebabkan permintaan tinggi terhadap MR 297

 Lewat agih benih padi disebabkan permintaan tinggi terhadap MR 297

JOHOR BAHRU, 23 Okt — Masalah kelewatan pengagihan benih padi di Kedah dan Perlis hingga didakwa menjejaskan lebih 50,000 pesawah di dua negeri itu bukan disebabkan penyelewengan, sebaliknya berpunca daripada permintaan tinggi terhadap varieti benih padi MR 297 yang tidak mencukupi.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata tindakan kerajaan menetapkan harga siling RM35 bagi setiap beg Benih Padi Sah (BPS), selain penahanan beberapa individu, telah berjaya mengurangkan isu penyelewengan atau manipulasi benih padi.

“Isu ini tidak seserius seperti musim lalu dan ia lebih kepada isu varieti padi yang dikehendaki pesawah terhadap padi MR 297, sehingga menyebabkan ia tidak mencukupi pada musim ini, namun Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras bersama agensi dan kementerian, sudah mengambil tindakan.

“Ia perlu diambil tindakan dan penyelesaian segera untuk elak masalah lebih besar dihadapi pesawah,” katanya kepada pemberita selepas sesi sidang video dengan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura bagi memperkasa eksport agromakanan ke Singapura, di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Johor, hari ini.

Untuk rekod, varieti benih padi MARDI SIRAJ (MR) 297 yang diisytihar pada tahun 2016 mendapat sambutan baik oleh pesawah, dan dianggarkan sebanyak 43.2 peratus pesawah di Semenanjung Malaysia menggunakan varieti itu.

Pada Rabu lepas, media melaporkan Jabatan Pertanian memberi jaminan benih padi mencukupi bagi keperluan pesawah melaksanakan penanaman musim 2/2021 di kawasan seluas 520,000 hektar di Semenanjung.

Jabatan itu memaklumkan, berdasarkan data hingga 10 Okt lalu, sebanyak 52,922.5 tan metrik benih padi sedang dalam proses pengesahan.

Ia susulan kenyataan Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA Che Ani Mat Zain pada Selasa, mendakwa sekali lagi berlaku kelewatan proses pengagihan benih padi kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), sehingga menjejaskan jadual penanaman membabitkan lebih 50,000 pesawah di Kedah dan Perlis.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *