Levi keuntungan luar biasa tidak produktif, boleh jejas sentimen pelabur

 Levi keuntungan luar biasa tidak produktif, boleh jejas sentimen pelabur

Tan Sri Soh Thian Lai

KUALA LUMPUR, 14 Okt — Langkah mengenakan levi keuntungan luar biasa ke atas syarikat-syarikat berkaitan berkemungkinan menguntungkan negara dalam masa singkat, namun memberi impak buruk bagi jangka panjang kerana memaparkan isyarat salah untuk pelabur tempatan serta asing, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata ini berikutan Malaysia masih berdepan persaingan sengit dengan negara-negara jiran dari segi tarikan serta lokasi pilihan bagi tujuan pelaburan, terutama ketika pandemik COVID-19.

“Sehubungan itu, langkah memperkenalkan dan mengenakan cukai sedemikian adalah tidak produktif dan boleh memberi impak terhadap daya saing negara serta menjejaskan sentimen pelabur,” katanya.

Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Rang Undang-Undang (RUU) Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020 yang bertujuan menambah baik pentadbiran levi tersebut, telah diluluskan secara sebulat suara.

Malah, Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah menegaskan bahawa pengenaan levi itu bukanlah satu tindakan secara terburu-buru oleh kerajaan yang sebaliknya sentiasa melihat ekosistem luas bagi industri dan syarikat-syarikat komoditi di negara ini.

Dalam pada itu, Soh berkata keuntungan luar biasa itu diraih pelabur tertentu ketika pandemik susulan permintaan tinggi terhadap produk terbabit bagi membendung penularan COVID-19 seperti syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan, komoditi dan industri elektrikal dan elektronik.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa syarikat-syarikat berkenaan bukannya mengambil kesempatan daripada tempoh berlakunya pandemik sebaliknya produk-produk mereka telah dijual dalam jumlah lebih besar.

“Keadaan itu terutamanya membabitkan pengeluar sarung tangan getah berikutan keperluannya sebagai bahan penting dalam aspek kesihatan dan keselamatan orang ramai,” katanya.

Beliau juga menyifatkan syarikat-syarikat terbabit sudah membayar cukai korporat masing-masing pada kadar maksimum dan keuntungan luar biasa yang diraih itu boleh dimanfaatkan bagi mengembangkan atau mempelbagai perniagaan mereka serta dapat memberi kesan pengganda.

“Ini juga dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat selain menjadi sumber hasil tambahan untuk kerajaan,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *