Lembah Klang beralih ke fasa 2, rentas daerah dibenarkan

 Lembah Klang beralih ke fasa 2, rentas daerah dibenarkan

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR, 8 SEPT — Lembah Klang yang terdiri daripada Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang bermesyuarat turut memutuskan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

Beliau berkata, antara kelonggaran yang diberikan adalah sama seperti negeri yang memasuki fasa dua sebelum ini, seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Justeru, rentas daerah dibenarkan kepada individu yang lengkap dos vaksin, manakala pasangan suami isteri jarak jauh yang lengkap divaksin juga dibenarkan untuk merentas negeri.

“Ibu bapa yang mendapat perlindungan lengkap dos vaksin dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa anak mereka yang berusia bawah 18 tahun.

“Dine-in atau makan di kedai dibenarkan di premis untuk pelanggan yang lengkap dos vaksin dan aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama membabitkan penginapan di hotel dan ‘homestay’ (inap desa bagi individu yang lengkap dos vaksin.

“Jawatankuasa turut memutuskan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya digabungkan sebagai satu kawasan jangkitan yang sama.

“Maka, pergerakan antara negeri ini adalah dibenarkan dan tiada lagi sekatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Memperincikan kelonggaran selanjutnya, Ismail Sabri berkata, jawatankuasa turut bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri yang berada di bawah Fasa Satu PPN.

Berdasarkan maklumat dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), hanya Kedah dan Johor ketika ini masih dikategorikan sebagai negeri Fasa Satu.

“Antara ketetapan yang diputuskan jawatankuasa ialah membenarkan aktiviti sukan ‘indoor’ (kawasan tertutup), kecuali gimnasium, kepada individu yang lengkap dos vaksin.

“Selain itu, kemudahan sukan dan rekreasi komersil tertutup dibenarkan beroperasi dengan kawal selia, hanya kepada pelanggan yang lengkap divaksin.

“Penggunaan kemudahan ini perlu dilakukan secara janji temu disamping pematuhan SOP.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta MKN dan akan berkuatkuasa Jumaat ini,” katanya.

Menyentuh kelonggaran lain, Ismail Sabri berkata, sektor perdagangan dan pengedaran, perniagaan kedai bunga, kedai peralatan aktiviti luar (outdoor) dan galeri perumahan akan mula dibenarkan beroperasi mulai Jumaat ini bagi negeri fasa satu PPN.

Sementara itu, katanya, kelonggaran tambahan bagi aktiviti kedai gunting, pendandan rambut dan salon kecantikan dibenarkan untuk negeri yang dikategorikan dalam Fasa Dua dan Tiga PPN.

“Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN dan kementerian berkaitan. Amalkan kawalan kendiri serta gaya hidup sihat,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =