Lelaki pecahkan pintu masjid ditemukan mati

 Lelaki pecahkan pintu masjid ditemukan mati

Keadaan pintu Masjid Taman Scientex yang pecah ditumbuk seorang lelaki dalam kejadian Ahad lalu.

PASIR GUDANG, 8 Sept — Seorang lelaki yang bertindak memecahkan pintu Masjid Taman Scientex, dekat sini ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada pergelangan tangan dan kaki kanan di rumah sewanya di Taman Scientex, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kematian lelaki itu pada 7.35 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai mengamuk di Masjid Taman Scientex itu pada malam sebelumnya apabila mendapati pintu masjid ditutup selepas waktu Isyak.

“Mangsa telah bertindak menumbuk pintu cermin hadapan masjid itu sehingga pecah, menyebabkan tangannya berlumuran darah. Di lantai masjid terdapat kesan tompokan darah.

“Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu menumbuk sebanyak dua kali pintu cermin tersebut sehingga pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, kakak mangsa memberitahu bahawa adiknya yang bekerja sebagai jurutera kimia di sebuah syarikat dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat melawat keluarganya di Kuala Berang, Terengganu sejak enam bulan lalu.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini untuk proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah luka parah di pergelangan tangan kanan saluran darah alteri dan urat tendon terputus akibat tumbukan pintu cermin kaca. Kes diklasifikasi sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  4