Lelaki hina Sultan Johor ditahan

 Lelaki hina Sultan Johor ditahan

Ayob Khan menunjukkan kenyataan berbentuk penghinaan oleh seorang lelaki terhadap Sultan Johor dalam sidang media di IPK Johor, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU, 10 Okt  — Polis Johor menahan seorang lelaki kerana mengeluarkan komen berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam laman sosial Twitter miliknya, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang berusia 42 tahun itu ditahan di kediamannya di Ulu Tiram pada jam 9.25 malam.

Walau bagaimanapun, lelaki yang bekerja sebagai pengecat kereta sambilan itu dilepaskan setelah keterangannya diambil bagi membantu siasatan.

“Pada 8 Oktober lalu, polis Johor menerima laporan daripada Ketua Unit Media Pejabat Komunikasi dan Keluarga Diraja Johor berkaitan satu kenyataan dalam akaun Twitter bernama zion74rey@reymizion74 pada jam 2.03 petang.

“Hantaran berkenaan mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap Sultan Johor dan institusi Diraja Johor,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau bersabit kes ceroboh dan khianat.

Polis turut merampas peralatan dan peranti yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat hantaran berkenaan termasuk sebuah komputer, telefon bimbit dan seunit adapter.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserah kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  8  =  1