• Friday, 18 June 2021, 1:39 am

Lelaki ditahan bersama 300kg daun dan 200 bungkus air ketum

 Lelaki ditahan bersama 300kg daun dan 200 bungkus air ketum

GEORGE TOWN, 26 Mei — Pasukan Polis Marin Pulau Pinang menahan seorang lelaki bersama 300 kilogram (kg) dan 200 bungkus air ketum yang telah siap di proses, dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Batu, Teluk Kumbar dekat sini semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu ACP Rosman Ismail berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 7 malam tadi, di rumah teres dua tingkat tersebut hasil risikan dan intipan dijalankan pihaknya sejak seminggu lepas.

“Sepasukan polis yang sedang menjalankan Op Benteng Covid telah menyerbu rumah itu, dan lelaki berkenaan mengaku kediaman tersebut miliknya, pemeriksaan menemui daun serta air ketum dan pelbagai peralatan memproses serta memasaknya.

“Kami turut merampas sebuah lori dipercayai digunakan untuk menghantar bekalan air ketum di seluruh negeri ini, semua rampasan iaitu 300kg daun ketum, 200 bungkus air ketum dan lori tersebut bernilai RM55,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya siasatan pihaknya mendapati lelaki itu aktif menjalankan kegiatan memproses dan mengedar air ketum sejak awal tahun ini, dengan memperoleh bekalan daun ketum dari Jeniang, Kedah.

Rosman berkata siasatan pihaknya mendapati lelaki itu menjual air ketum yang siap diproses pada harga RM5 sebungkus dan hasil kegiatan tersebut, suspek dipercayai memperoleh pendapatan hasil jualan mencecah sehingga RM15,000 sebulan.

Katanya polis juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi individu terlibat dengan sindiket tersebut, kerana percaya mereka menjalankan kegiatan memproses air ketum dalam kuantiti yang banyak.

“Lelaki yang tidak bekerja itu direman empat hari bermula hari ini, bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menahan dua lelaki berusia 32 dan 33 tahun dan merampas 112 bungkus air ketum di sebuah taman permainan di Taman Berlian, Bagan Ajam, Butterworth, ketika sedang menunggu pelanggan pada 12.40 tengah malam semalam.

Katanya sepasukan polis yang menjalankan tugas pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) memeriksa kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki itu dan menemui dua buah tong polisterin di bahagian tempat duduk belakang, yang mengandungi 112 bungkus air ketum.

“Siasatan awal mendapati, dua lelaki tersebut mengaku menjual air ketum sejak tiga bulan lepas dengan harga RM7 sebungkus, dan mengakui memperolehi bekalannya daripada kawan mereka yang tinggal di Taman Penaga. Semasa ditahan mereka sedang menunggu pelanggan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *