Lelaki didakwa seret kucing mengaku tak bersalah

 Lelaki didakwa seret kucing mengaku tak bersalah

TELUK INTAN, 14 Jun –Perilaku tak berperikemanusiaan dan tindakan yang keterlaluan mengundang padah apabila satu video tular memaparkan tindakan seorang lelaki menyeret seekor kucing dengan menunggang motosikal mendapat kecaman netizen yang mahukan lelaki tersebut diambil tindakan sewajarnya.

Lelaki itu bagaimanapun ditahan ketika hadir untuk menyerah diri untuk membuat laporan penafian selepas diberitahu keluarganya berkaitan video yang tular di laman media sosial di Balai Polis Langkap pada kira-kira jam 9.15 malam, 4 Jun.

Kejadian ini berjaya dirakam oleh pengguna jalanraya yang turut menyaksikan tindakan keterlaluan itu. Sumber foto Facebook.

Azizul Salahuddin, 46, seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyeret seekor kucing di atas jalan di Kampung Attaduri, Langkap di sini, pada 3 Jun lepas.

Bagaimanapun tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

Tertuduh didakwa secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan kepada haiwan itu dengan menyeretnya di atas jalan di Jalan Attaduri, Langkap di sini pada 6.30 petang, 3 Jun lepas.

Tertuduh diwakili peguam S. Kumaresan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azimah Che Ismail.

Terdahulu tertuduh mendakwa tujuan sebenar dia menangkap kucing itu adalah untuk dibuang ke kawasan kedai berdekatan rumahnya.

Tertuduh mendakwa menggunakan sauk untuk menangkap kucing tersebut dan semasa dalam perjalanan ke kedai berhampiran, tiba-tiba kaki depan kucing telah terkeluar dari jaring sauknya menyebabkan kucing itu terseret di atas jalan pada 3 Jun lepas.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

73  −  64  =