Legasi terakhir atap singgora Bachok

 Legasi terakhir atap singgora Bachok

Noraini Jusoh

Oleh Ama Alias

BACHOK: Sejak tahun 1950an, Kampung Pengkalan Baru di sini menjadi tumpuan kerana pembuatan bata singgora atau atap yang diperbuat daripada tanah liat.

Namun, tahun demi tahun, perusahaan tradisi ini semakin pupus sehingga yang tinggal kini hanyalah, Noraini Jusoh, 55 , generasi kelima keluarga Mohd Noor Bidin yang masih utuh mempertahankan pekerjaan seni tradisional ini.

Noraini berkata, dahulu terdapat lebih 40 keluarga di kampung itu terlibat dalam pembuatan bata singgora sebagai punca rezeki namun kini hanya dia seorang yang masih bertahan.

Pada pendapat beliau, ini berlaku mungkin kerana membuat atap singgora mengambil masa yang lama iaitu tiga bulan sepanjang proses pembuatan, membentuk, menjemur dan membakar hingga menjadi bata singgora yang sempurna.

“Pekerjaan ini 100 peratus menggunakan tenaga manusia. Kerjanya juga kasar dan bergelumang tanah liat, malah berjemur panas. Mungkin kerana itulah generasi kini tak berminat pertahankan perusahaan ini,” katanya ketika ditemui di pusat perusahaan atap singgoranya di sini.

Noraini berkata, pembuatan atap singgora sangat klasik. Ia diperbuat daripada tanah liat membentuk heksagon berukuran 11 x 16 cm yang mempunyai ciri seni ukiran Melayu yang sukar ditandingi atap moden seperti zink kerana tahan berpuluh tahun lamanya.

Selain atap singgora menyerlahkan ciri tradisi pada kediaman, ia dapat mewujudkan suasana sejuk pada bumbung rumah.

“Pemasangan atap singgora juga perlu tepat, kreatif dan memerlukan kemahiran tertentu supaya susunannya tepat serta bumbung tidak bocor. Ia disusun satu persatu tanpa mengenakan sebarang pelekat seperti gam atau paku,” katanya.

Noraini berkata, sehingga kini dia mempunyai lebih 10 pekerja tetap di kalangan ahli keluarga dan warga emas setempat.

Bagi membuat atap singgora, beliau berkata, tanah liat dicari di kawasan hutan dan bukit, kemudian tanah liat dibasahkan dengan air di tempat khas di bengkelnya.

Tanah liat itu diambil sedikit dan diuli menggunakan mesin khas sebelum pekerja meletakkan ketulan tanah liat yang dilembutkan itu di dalam acuan kekuda kayu yang membentuk atap singgora berbentuk lima bucu dan dipotong dengan pemotong khas dengan saiz ketebalan kira-kira satu sentimeter.

“Ketika memasukkan ketulan tanah liat ke dalam acuan kekuda, kami gunakan kekuatan kaki untuk menekan tanah liat bagi membentuk atap singgora, caranya dengan memberi tekanan pada hujung tumit,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu atap yang masih lembut dijemur di tengah panas sehingga tiga bulan sebelum dibakar di dalam pembakar khas dinamakan tanur atau gok.

“Setiap kali pembakaran, kita mampu muatkan 40,000 keping atap dalam gok. Pekerja lelaki akan menyusun dan mengangkat bata yang berat, manakala pekerja wanita akan bergilir-gilir menghulur kepingan atap kepada pekerja lelaki dalam gok. Atap perlu disusun berhati-hati supaya tidak pecah selain seluruh bahagian atap dapat dibakar dengan rata dan sempurna,” katanya.

Katanya, atap akan dibakar selama 240 jam atau selama 10 hari pada suhu 800 darjah Celsius. Selepas itu, batu akan dibiarkan sejuk beberapa hari sebelum dikeluarkan dari gok. Ia kemudian dijual RM1 sekeping.

Noraini pernah menerima pengiktirafan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) 2014 sebagai Tukang Ulung. Namun beliau di persimpangan dilema dan tidak tahu bagaimana legasi atap keluarganya ini akan diwarisi kerana tiada seorang pun anaknya berminat meneruskan perusahaan itu.

Di pasaran, batu singgora beliau masih mendapat permintaan tinggi bagi menghiasi bumbung gazebo, wakaf masjid, madrasah, bangunan kesenian serta rumah kediaman.

Antara bangunan yang menerapkan sentuhan bata singgora Noraini adalah Muzium Istana Jahar di Kota Bharu; rumah-rumah tradisional di Taman Mini Asean di Melaka serta Masjid Teluk Memali.  

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

90  −  89  =