Lebih 1,000 Jalur Gemilang berkibar di Kampung Permatang Pauh

 Lebih 1,000 Jalur Gemilang berkibar di Kampung Permatang Pauh

Kanak-kanak turut sama memeriahkan majlis pelancaran bulan kemerdekaan peringkat Kampung Permatang Pauh.

PEKAN, 30 Ogos — Lebih 1,000 Jalur Gemilang pelbagai saiz dipasang secara gotong-royong penduduk Kampung Permatang Pauh di sekitar kampung mereka sempena Bulan Kemerdekaan kali ini.

Ketua Kampung Permatang Pauh, Mohd Nasrul Hakim Mat Daud berkata, Jalur Gemilang dibekalkan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Permatang Pauh dan Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Kampung Permatang Pauh.

Menurutnya, aktiviti memasang Jalur Gemilang di beberapa lokasi tumpuan sekitar kampung dilakukan sukarelawan terdiri daripada golongan belia dan penduduk setempat.

“Saya berbangga dengan semangat yang ditunjukan penduduk apabila turut sama memasang Jalur Gemilang pada rumah masing-masing, mereka membeli dan memasangnya sejak seminggu lalu.

“Kita mengadakan majlis pelancaran mengibarkan Jalur Gemilang secara sederhana dengan penyertaan beberapa pihak termasuk penduduk kampung serta golongan kanak-kanak,” katanya pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, walaupun negara sedang menghadapi cabaran COVID-19 namun semangat untuk menyambut Hari Kemerdekaan Negara ke-64 tetap dirasakan dengan pelbagai cara.

Penduduk Robiah Mohamad, 71, dia berbangga dapat turut sama terbabit mengibarkan Jalur Gemilang di rumah sempena Bulan Kemerdekaan kali ini.

“Kemeriahan sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini lebih terasa apabila banyak Jalur Gemilang berkibar disekitar Kampung Permatang Pauh,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  3