• Friday, 18 June 2021, 1:21 am

Lari ke kantin sekolah waktu rehat, Uncle Kentang tak pernah putus asa

 Lari ke kantin sekolah waktu rehat, Uncle Kentang tak pernah putus asa

Kuan Chee Heng menyediakan perkhidmatan ambulans percuma bagi yang tidak berkemampuan. Sumber gambar – (Kentang Media) Kuan Chee Heng

Oleh Suraya Ali

[KUALA LUMPUR, 26 Mei — Apabila loceng berbunyi menandakan masuk waktu rehat, Kuan Chee Heng akan berlari ke tandas sekolah.

Itulah kenangan yang tidak dapat dilupakan Kuan, atau kini lebih dikenali dengan panggilan ‘Uncle Kentang’.

“Saya lari ke tandas bukan untuk buang air tetapi saya  kehausan dan pergi ke tandas untuk minum air paip,” katanya ketika dihubungi Wacana.my, baru-baru ini.

Kuan turut menyediakan perkhidmatan Van Jenazah percuma (Sumber gambar – Kentang Media).

Tambah Kuan, ketika membesar di Batu Pahat, Johor hidup beliau amat susah namun sering dibantu oleh guru berbangsa Melayu, beragama Islam.

“Saya pun sekolah Melayu bukan sekolah khas mana-mana dulu. Saya miskin nak makan pun susah dulu. Kasut pun berlubang, pakaian lusuh,” katanya mengimbau kenangan lama.

Kuan memberitahu Wacana.my, kesusahan zaman mudanya mencetuskan azam di dalam diri untuk membantu seberapa ramai orang miskin yang ditemuinya.

“Saya faham mereka, bukan semua suka hidup dalam keadaan begitu. Mereka benar-benar susah dan memerlukan bantuan,” katanya yang baru diumumkan sebagai penerima anugerah ‘Points of Light’ oleh Ratu Elizabeth II di atas usahanya membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Kuan berkata, anugerah yang diberikan itu bukanlah sesuatu untuk dirinya seorang malah menganggap beliau hanya mewakili rakyat Malaysia untuk menerima anugerah tersebut.

“Apa yang saya ada sekarang ini hasil usaha semua rakyat Malaysia. Kita semua menyumbang kepada membantu rakyat lain yang memerlukan. Jadi, anugerah ini adalah untuk kita semua,” katanya.

‘Point Of Light’ merupakan anugerah yang diberikan kepada individu dari negara Komanwel sebagai tanda pengiktirafan kerja sukarelawan insan dalam melakukan perubahan dalam komuniti mereka.

Kuan berkata, nama beliau dinominasikan oleh rakyat Malaysia tanpa pengetahuannya dan apa pun, beliau amat berterima kasih dan menjadi semakin bersemangat untuk membantu lebih ramai lagi warga Malaysia yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *