Larangan dine-in di zon selatan Sarawak dilanjutkan

 Larangan dine-in di zon selatan Sarawak dilanjutkan

Foto hiasan – WMY

KUCHING, 28 Ogos — Larangan dine-in di zon selatan Sarawak yang berkuat kuasa sejak 22 Ogos lalu dilanjutkan hingga 5 September ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, keputusan itu dibuat berikutan bilangan kes COVID-19 di lapan daerah iaitu Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu masih berada pada paras membimbangkan.

Selain larangan dine-in, prosedur operasi standard (SOP) di tujuh daerah itu turut mengehadkan tempoh operasi perniagaan mulai jam 5 pagi hingga 8 malam.

“Individu atau kumpulan juga tidak dibenarkan berada di kawasan awam selepas jam 10 malam tanpa alasan yang munasabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu katanya, pergerakan rentas daerah dari zon selatan ke daerah lain perlu mendapatkan permit polis dan keputusan negatif ujian rt-PCR atau RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Zon selatan Sarawak menjadi penyumbang utama ke jangkitan baharu COVID-19 di negeri ini sejak beberapa minggu lalu.

Hari ini sahaja, Kuching menyumbang 906 daripada 2,224 kes baharu di Sarawak.

Daerah lain di zon selatan turut merekod kes membimbangkan dengan Samarahan sebanyak 210 kes, Serian (158), Simunjan (96), Bau (69), Lundu (50), Asajaya (38) dan Tebedu (28).

Bagi 32 lagi daerah di negeri ini, semua aktiviti dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

80  −  70  =