Lapan lelaki dan sebuah premis dikompaun RM26,000

 Lapan lelaki dan sebuah premis dikompaun RM26,000

Anggota polis mengenakan kompaun pada individu yang gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

BENTONG, 15 Jun — Lapan lelaki berusia antara 24 hingga 56 tahun dikenakan kompaun masing-masing RM2,000 kerana gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di daerah ini kelmarin.

Turut menerima nasib sama pemilik sebuah premis yang dikompaun sebanyak RM10,000 selepas gagal mengikut waktu operasi yang diterapkan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, tindakan kompaun dikenakan di bawah Peraturan 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.

“Hasil pemantauan dan pemeriksaan di sekitar daerah ini seramai lapan lelaki tempatan berumur 24 hingga 56 tahun dikompaun kerana pelbagai kesalahan gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Sebuah premis di kawasan Janda Baik, dekat sini turut dikenakan kompaun kerana gagal mengikut waktu operasi yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak 393 kompaun telah dikeluarkan sejak 18 Mac sehingga 13 Jun lalu atas pelbagai kesalahan melanggar SOP yang ditetapkan dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 140 kompaun dikeluarkan dalam pelaksanaan PKP 3.0 yang membabitkan pelbagai kesalahan termasuklah tidak mematuhi SOP di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebanyak 47 kompaun dikeluarkan kerana keluar dari kawasan PKPD, tidak memakai pelitup muka (27), tidak merekodkan kehadiran di MySejahtera (23), tiada permit rentas negeri dan daerah (19), tiada penjarakan fizikal (17), premis gagal mengikut SOP (6) dan satu kesalahan tidak mematuhi arahan kuarantin.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas individu dan premis yang masih gagal mematuhi SOP ditetapkan oleh MKN dan polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam kerana sentiasa menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata, pasukan rondaan akan terus melakukan pemantauan serta pemeriksaan disemua kawasan dalam memastikan semua pihak dapat mematuhi semua SOP yang ditetapkan kerajaan.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  6