• Friday, 18 June 2021, 1:53 am

Lapan dicekup tipu pelaburan Bitcoin

 Lapan dicekup tipu pelaburan Bitcoin

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU – Polis menahan lapan suspek termasuk dua lelaki warganegara China yang disyaki terlibat sindiket penipuan pelaburan Bitcoin tidak wujud dalam dua serbuan berasingan di sebuah pangsapuri di Jalan Tanjung Puteri, di sini kelmarin.

Polis turut merampas dua set komputer, tiga komputer riba, 35 telefon pintar pelbagai jenama, buku catatan dan wang tunai RM7,200.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, polis menahan kesemua suspek berusia antara 21 hingga 33 tahun dalam serbuan jam 5.45 petang itu.

Menurutnya, polis turut merampas dua set komputer, tiga komputer riba, 35 telefon pintar pelbagai jenama, buku catatan dan wang tunai RM7,200.

“Hasil siasatan terdapat dua laman web yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam aktiviti pelaburan bitcoin yang tidak wujud.

“Media sosial menjadi platform bagi kesemua suspek mencari mangsa dengan memulakan perbualan sebagai kawan sehingga memperoleh kepercayaan mangsa dan seterusnya mendorong dan memperdaya mereka untuk pelaburan bitcoin.

“Suspek menerima gaji RM2,300 sebulan dan komisen sebanyak 10 peratus daripada hasil penipuan yang berjaya dibuat bagi setiap kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli memberitahu, mangsa yang menyertai pelaburan itu dikehendaki memasukkan wang ke dalam akaun bank yang ditentukan oleh suspek yang dipercayai dikawal dari luar negara.

Semakan rekod ke atas suspek mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah.

“Enam suspek warganegara tempatan ditahan reman selama empat hari, manakala dua suspek warganegara China ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sekiranya ditawarkan untuk menyertai sebarang pelaburan. Pastikan dahulu pelaburan itu wujud dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 420 (Tipu) Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah penipuan boleh menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) JBS menerusi talian 07-2182323.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *