Langgar motorsikal, pemandu lori cedera dipukul

 Langgar motorsikal, pemandu lori cedera dipukul

KUALA LUMPUR, 10 Mac  — Seorang pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan badan akibat dipukul orang awam selepas lori yang dipandunya melanggar seorang penunggang motosikal di Jalan Perak Kanan, Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Supt Azman Shariat berkata lelaki berusia 53 tahun itu dipukul ketika cuba melarikan diri dalam kejadian pukul 5.50 petang itu.

Beliau berkata lelaki berkenaan dipercayai cuba melarikan diri selepas melanggar seorang penunggang motosikal berusia 21 tahun yang bergerak dari arah Jalan Banting-Dengkil menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Penunggang motosikal itu dilanggar pemandu lori yang hendak membelok ke simpang di sebelah kiri jalan, dan selepas perlanggaran, pemandu lori dikepung oleh sekumpulan orang kampung menyebabkan dia mengundurkan lori, sehingga melanggar sebuah kereta pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata pemandu lori itu dibawa ke Hospital Banting bagi mendapatkan rawatan manakala penunggang motosikal yang patah tangan dan cedera di kaki juga mendapatkan rawatan di hospital sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 (perlanggaran pertama) dan Seksyen 42(1) APJ 1987 (perlanggaran kedua) kerana memandu secara berbahaya.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

18  +    =  28