Ladang sawit seluas 32 hektar untuk latih banduan

 Ladang sawit seluas 32 hektar untuk latih banduan

Ab Basir (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mohd Ilham pada program lawatan ke Penjara Bentong.

BENTONG, 10 Okt — Jabatan Penjara Negeri Pahang akan membuka ladang kelapa sawit seluas 32 hektar yang digunakan untuk melatih serta membimbing banduan dalam bidang pengurusan ladang selain menjadi kerjaya baharu selepas dibebaskan.

Pengarahnya, Datuk Ab Basir Mohamad berkata, projek ladang berkenaan akan dimulakan awal tahun depan di kawasan terletak di belakang Penjara Penor, Kuantan.

Menurutnya, turut akan dibangunkan tahun depan ialah ladang kelapa seluas 8 hektar yang turut menjadi sebagai pusat latihan kepada banduan yang meminati bidang pertanian.

“Kita mahu melatih dan mendedahkan banduan dalam pengurusan ladang kelapa sawit bermula daripada peringkat tapak semaian atau nurseri sehinggalah menjual hasil, selain itu aktiviti menanam tanaman kontan seperti cili dan jagung turut dilakukan sementara menunggu hasil utama keluar.

“Projek tanaman kelapa diusahakan kerana ia mendapat permintaan tinggi, buah kelapa boleh dijual terus selain dihasilkan santan. Ia memberikan kemahiran kepada banduan untuk digunakan selepas dibebaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang, Profesor Dr Mohd Ilham Adenan ke Penjara Bentong, semalam.

Hadir sama Pengarah Penjara Bentong, Datuk Abu Hasan Hussain.

Ab Basir berkata, ladang terbabit akan diusahakan sendiri oleh banduan dengan bimbingan pegawai penjara dan rakan strategik sedia ada seperti FELDA, FELCRA Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP).

Katanya, jabatan akan mendapatkan khidmat nasihat dan teknikal daripada pihak UiTM Pahang yang mempunyai kepakaran dalam bidang tanaman kelapa sawit dan kelapa.

Sementara itu, Mohd Ilham berkata, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Penjara Negeri Pahang dalam usaha agensi berkenaan memulakan projek ladang kelapa sawit dan kelapa.

Katanya, selain khidmat nasihat dan teknikal serta aspek pengurusan ladang, sistem wakaf sawit juga boleh dipraktikkan di kawasan ladang berkenaan.

“Kita boleh wujudkan satu sistem wakaf sawit bermaksud orang ramai boleh beramal dengan mewakafkan pokok berkenaan,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

59  +    =  61