Labuan akan jadi wilayah pertama capai imuniti kelompok Julai ini

 Labuan akan jadi wilayah pertama capai imuniti kelompok Julai ini

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertugas memantau pergerakan kenderaan yang masuk ke pusat bandar Labuan di Jalan Tun Mustapha

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyasarkan Wilayah Persekutuan Labuan  akan mencapai imuniti kelompok seawal bulan Julai.

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaporkan akan menghantar  30,000 dos vaksin ke Labuan. Ini susulan wilayah itu mencapai kira-kira 6,155 kes COVID-19 pada Sabtu lalu.

“Kita bersetuju untuk melipatgandakan fasa vaksinasi di Labuan 300 peratus, daripada kurang 1,000 suntikan sehari kepada kapasiti 3,000 suntikan sehari.

“Kita juga putuskan dengan persetujuan CITF untuk menghantar 35,100 vaksin, dan mungkin boleh ditambah dengan kapasiti untuk sampai ke sasaran mewujudkan imunisasi kelompok,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebook, semalam.

Annuar berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Menteri Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan Khairy Jamaluddin, kelmarin.

Semalam, Khairy berkata kerajaan bersetuju untuk menghantar kira-kira 30,000 dos vaksin ke Labuan susulan krisis COVID-19 di sana yang disifatkan “agak kritikal”.

Untuk rekod, Labuan mempunyai kira-kira 100,000 penduduk.

Sementara itu, Annuar berkata Wilayah Persekutuan Putrajaya juga akan mencapai imuniti kelompok pada akhir Julai manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada akhir Ogos ini.

“Pada masa ini di Kuala Lumpur, yang telah divaksin berjumlah 700,566 individu yang sekurang-kurangnya mendapat satu dos, Putrajaya 47,460 individu sementara di Labuan kira-kira 32,424 orang,” katanya.

Tambah Annuar, kementeriannya telah mengaturkan 120 tan makanan tertentu yang terdiri daripada 75 tan beras, 15 tan minyak masak, 15 tan tepung gandum, 15 tan gula dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Bantuan berkenaan akan sampai Khamis ini untuk diagihkan kepada lapan lokaliti di wilayah itu.

Lima lagi bentuk bantuan akan disampaikan kepada penduduk Labuan, antaranya 3,000 bakul makanan yang akan diuruskan Perbadanan Labuan.

Malah pihaknya juga memberikan bantuan secara one-off bernilai RM500 kepada 128 pengusaha bas mini dan bas sekolah.

“Selain daripada itu terdapat juga bantuan kepada 90 pengusaha teksi di Labuan sebanyak RM500 secara one-off dengan peruntukan RM45,000.

“Kita juga akan beri bantuan kepada golongan belia yang berniaga di bawah Program Belia Berniaga dengan kira-kira 100 penerima yang akan menerima bantuan secara one-off sebanyak RM500.

“Kita juga bersetuju untuk memberikan bantuan secara one-off kepada 500 penghantar makanan yang menerima bantuan RM300,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

38  −    =  28