KWSP duit rakyat, kenapa perlu meminjam?

 KWSP duit rakyat, kenapa perlu meminjam?

Oleh Sang Ratu

Ramai rakyat mengeluh sukar untuk memohon bantuan pinjaman RM10,000 yang ditawarkan kerajaan menerusi bank tempatan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Ini kerana pemohon tidak memiliki slip gaji atau pengesahan majikan sebagai memenuhi syarat permohonan.

Rata-rata netizen meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial kerana bukan sahaja isu mangsa banjir yang kehilangan punca pendapatan tetapi masalah berangkai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai hilang kerja.

Lebih membebankan, institusi perbankan tidak melanjutkan moratorium bagi meringankan beban bulanan pelanggan mereka.

Umum mengetahui berjuta rakyat hilang punca pendapatan sejak Mac 2020 iaitu ketika PKP fasa pertama dikuatkuasakan dengan larangan rentas daerah dan larangan rentas negeri.

Malah lebih teruk, selepas kerajaan benarkan rentas daerah dan negeri secara berperingkat pada awal September lalu, rakyat sudah berada di saat kritikal, sudah ramai miskin rentan iaitu tiba-tiba jatuh miskin kerana pelbagai faktor.

Perniagaan mula dibenarkan beoperasi secara berperingkat dari Oktober hingga ketika ini dengan kata lain baru dua bulan bernafas, belum jana pendapatan, belum lepas hutang ditambah pula musibah lain iaitu banjir dan tanah runtuh.

Dua bencana ini dijadikan alasan berlaku kenaikan harga barang makanan sehingga menyebabkan kos sara hidup rakyat bertambah.

Bencana banjir dan tanah runtuh yang memusnahkan kenderaan untuk kegunaan mereka keluar mencari sesuap nasi, rumah tempat berteduh musnah menyebabkan mereka terpaksa keluarkan kos lagi mencari rumah sewa untuk dihuni.

Bagaimanapun kata seorang netizen sejak diberhentikan kerja, beliau hanya berniaga nasi lemak sahaja sekaligus, tiada pendapatan tetap, tiada slip gaji.

Isunya kemudahan pinjaman bank semua minta slip gaji sebagai prosidur pinjaman.

Pinjaman untuk memulakan pekerjaan atau perniagaan tetapi tanpa gaji tanpa majikan, tanpa slip gaji, tanpa wang modal pusingan bagaimanakah mereka boleh mendapatkan pinjaman?

Ke mana lagi hendak diharapkan bantuan dan pertolongan? Kesukaran begini mendesak rakyat menghulurkan leher mereka kepada ceti haram Ah Long untuk meringankan beban mereka ketika itu tetapi bebanan mereka pada masa hadapan.

Bagaimanapun media hari ini melaporkan polis menasihatkan orang ramai jangan meminjam Ah Long, sedangkan berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Hendak memohon bantuan zakat amatlah susah dokumen pengesahan berjela-jela panjangnya yang menyusahkan si miskin.

Jadi tidak hairanlah kenapa statistik kes bunuh diri, depresi dan penceraian meningkat sebagai bukti kesan sosial akibat perlaksanaan yang kurang berkesan dalam membantu ekonomi rakyat terjejas.

Sehubungan itu, kerajaan dicadangkan perlu membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000.

Kerajaan perlu faham, kebenaran bergerak dan industri baru sahaja dibuka sepenuhnya dua bulan lalu dan, untuk standard pemulihan ekonomi rakyat memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk stabil.

KWSP adalah wang rakyat, wang sendiri kenapa perlu meminjam?

Fungsi KWSP adalah untuk kegunaan ketika rakyat hilang pendapatan atau ketika sakit dan sewaktu dengannya.

Sekarang inilah masa yang sesuai untuk guna wang sendiri KWSP, lihat beratus orang bunuh diri kerana tiada pendapatan, kebulur tiada makanan, hendak tunggu apalagi?

KWSP tidak boleh dijadikan modal perniagaan atau untuk menjana pendapatan mana-mana pihak.

Jika hendak menggunakan duit KWSP rakyat bagi tujuan perniagaan atau pelaburan, kerajaan wajib mendapatkan persetujuan pendeposit terlebih dahulu kerana itu duit pendeposit.

Jika tidak mungkin, kerajaan perlu meneliti semula fungsi dan peranan KWSP, perlu diingatkan jika isu kemiskinan tidak diselesaikan pada hari ini mana mungkin rakyat mampu bertahan hidup sehingga 10 atau 20 tahun untuk memperoleh hak mereka.

Hipotesisnya menimbulkan persoalan kenapakah rakyat tidak dibenarkan mengeluarkan wang KWSP mereka? Adakah kerana menterinya bukan dari kalangan wakil rakyat pilihan rakyat?

Rakyat mengganggapnya pengkhianat kerana terbukti telah menutup satu satunya peluang dan jalan yang ada bagi rakyat meneruskan kesinambungan dan kelangsungan hidup.

Sepatutnya ketika ini kerajaan pastikan harga barang keperluan harian ke paras minima supaya bantuan seringgit dua boleh membantu kesinambungan hidup tetapi sebaliknya dilihat membiarkan pula barangan keperluan asas (harian) dinaikkan.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, rakyat sedang mengalami trauma terbesar dalam hidup mereka hingga melibatkan hidup mati. Amatlah sukar dan mungkin mustahil untuk kerajaan atau parti politik untuk memulihkan mereka nanti.

Wakil rakyat atau Ahli Parlimen digesa membawa isu ini ke Parlimen. Jika benarlah mereka adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat bagi mewakili rakyat, jika tidak amatlah sukar untuk dipercayai mereka akan mewakili dan menjadi persoalan apakah perlu diadakan pilihanraya?

Agensi kebajikan seperti zakat dan baitulmal yang ditubuhkan atas tanggungjawab agama yang mewajibkan membantu rakyat miskin atau bermasalah hutang, juga tidak membantu menutup bantuan wajib kepada asnaf ini.

Bantuan derma sedekah kepada tabung masjid? Tidak ada kedengaran satu pun berita yang melaporkan pihak masjid membantu orang miskin melainkan setakat mengambil sendiri seperti bantuan makanan mangsa banjir sahaja.

Syarikat-syarikat besar dan orang kaya? Hanyalah melepaskan batuk ditangga untuk tujuan bergambar dan berlakon sahaja menggunakan musibah sebagai peluang promosikan diri.

Jika semua tidak membantu, hanya satu sahaja pilihan kepada rakyat yang sedang terseksa ini iaitu mohonlah bantuan kepada tuhan masing masing tanpa mengira agama dan tuhan mereka.

Hikmah yang boleh diambil ketika banjir, Rakyat Bantu Rakyat, Rakyat Jaga Rakyat, sekurang-kurangnya ketika musibah itu dapatlah juga rakyat menerima sumbangan dan makanan dari orang ramai.

Sudah pun ada kedengaran suara suara yang mencadangkan sistem monarki sepenuhnya iaitu kerajaan beraja sepenuhnya.

Adakah ahli parti politik masih tidak sedar masih tidur lena dan menunggu tiba saatnya rakyat menolak mereka dan memilih kerajaan monarki sepenuhnya?

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *