KWP bantu beri bumbung baharu

 KWP bantu beri bumbung baharu

KUALA LUMPUR : Kerja pembaikan dan penggantian bumbung baharu tangkas dilakukan buat empat unit pangsapuri di Taman Melati, Gombak akibat ribut baru-baru ini.

Selepas mengeluarkan arahan semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim  penduduk yang terjejas akan ditempatkan di rumah transit milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sementara kerosakan tersebut dibaiki.

“Pihak Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah memberikan bantuan makan malam, sarapan dan tengah hari untuk 200 orang yang terlibat dan sebarang keperluan akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, empat blok rumah pangsa di Taman Melati yang melibatkan 40 unit rumah dari Blok A13, A14, A15 dan A16 mengalami kerosakan akibat angin kencang dan hujan lebat.

Shahidan ditemui di majlis penyerahan sumbangan kepada 200 golongan asnaf dan miskin yang terdiri dari orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin bandar yang menetap di PPR dan Perumahan Awam (PA) sebagai persiapan menyambut Tahun Baharu Cina.

Jelasnya lagi, kejadian tersebut dikelaskan sebagai bencana dan kerajaan akan melaksanakan kerja pembaikan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sewaktu banjir yang berlaku pada Disember tahun lalu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah sebut ia sebagai bencana dan kita di Kuala Lumpur ini bencana yang terlibat adalah tanah runtuh, banjir. 

“Jadi yang terbaharu ini adalah ribut yang turut dikelaskan sebagai bencana dan insya-Allah kita akan menjalankan baik pulih di semua kawasan yang terlibat,” katanya.

Farhana Ab Rahman

farhanabrahman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  80  =  89